Cari @ Amanz

Kami telah menerbitkan artikel tentang enam perkara menarik mengenai OnePlus 6. Tetapi adalah berbohong sekiranya kami katakan peranti ini memenuhi kesemua keperluan kami. Oleh itu kami ingin menyenaraikan pula enam perkara yang mengecewakan kami mengenai OnePlus 6.

1. Tiada Sokongan HDR

Skrin Optic AMOLED OnePlus 6 dipadankan dengan pemproses Snapdragon 845. Kedua-dua perkakasan ini menyokong paparan HDR seperti yang boleh ditemui pada Galaxy S9 dan iPhone X. Tetapi sungguh misteri sekali OnePlus tidak mengumumkan sokongan HDR pada hari pelancaran atau pada laman rasmi. Mengapa ia tidak disertakan tidak kami ketahui kerana kesemua komponen yang diperlukan sudah sedia ada? Mungkinkah ia diberikan dengan kemaskini di masa hadapan? Kami hanya boleh berharap.

Sebelum ini pada OnePlus 5T, peranti perlu dihantar kembali ke OnePlus bagi menerima kemaskini bagi mengaktifkan penstriman HD penuh Netflix. Ramai pengguna yang kecewa peranti utama mereka hanya boleh menstrim kandungan pada resolusi HD. Jika HDR ingin diaktifkan perkara yang sama tidak seharusnya berulang.

Mengapa paparan HDR penting? Kerana jika anda sudah terbiasa dengan skrin HDR seperti kami, menonton kandungan SDR kurang memuaskan. Ia seperti kali pertama menonton DVD ketika orang lain masih menonton VCD. Bagi mereka yang tidak pernah menonton kandungan HDR, ketiadaannya mungkin tidak akan disedari.

2. Tiada Ketahanan Kalis Air Sebenar

Kami memuji OnePlus kerana akhirnya memberikan kemampuan kalis ari pada peranti terkini mereka ini. Tetapi disebalik pujian masih ada sekelumit kekecewaan kerana ia tidak hadir dengan tahap IP rasmi. Pengeluar lain seperti Samsung dan Apple sudah lama memberikan tahap ketahanan IP68 pada peranti mereka. Dengan tahap IP 68, peranti bukan sahaja kalis percikan malah boleh dibawa menyelam. Sekali lagi kami ingatkan moto syarikat ini ialah “Never Settle” jadi mengapa pengguna perlu “settle” dengan sekadar kalis percikan?

3. Dwi Kamera Tanpa Sokongan Zoom Optikal

Sokongan OIS dikembalikan kepada OnePlus 6 bagi meningkatkan kemampuan merakam gambar dalam situasi pencahayaan kurang baik. Sungguhpun begitu OnePlus memilih untuk tidak mengembalikan sistem zoom optikal OnePlus 5. Sistem zoom optikal tidak disertakan pada OnePlus 5T dan ketiadaannya mengecewakan kami. Di dalam dunia dimana Huawei sanggup menggunakan tri-kamera semata-mata untuk membawakan sokongan zoom optikal.

Xiaomi ialah syarikat yang turut terkenal dengan penghasilan peranti utama yang dijual pada harga mampu milik. Mereka mampu menyertakan zoom optikal pada Mi MIX 2S tanpa masalah. Maka keputusan OnePlus ini adalah sedikit canggung dengan trend pasaran semasa.

4. Tiada Sokongan Pengecasan Tanpa Wayar

Ok ini mungkin boleh dikatakan perkara kecil tetapi masih perlu disentuh. OnePlus masih belum mahu membawakan sokongan pengecasan tanpa wayar pada peranti keluaran mereka. Alasan yang diberikan ialah sistem Dash Charging lebih pantas maka pengecasan tanpa wayar tidak perlu. Kami akan sekali lagi menggunakan Xiaomi Mi MIX 2S sebagai kayu pengukur di sini. Peranti tersebut mempunyai sokongan pengecasan tanpa wayar (dan zoom optikal) tetapi masih dijual pada harga mampu milik dengan spesifikasi setanding dengan OnePlus 6.

Apabila panel kaca disahkan digunakan pada OnePlus 6 kami berharap sangat pengecasan tanpa wayar disokong tetapi nampaknya ia sekadar perubahan astetik dan penantian ini berterusan. Mungkin ia hanya akan disokong pada OnePlus 7 seperti Apple yang menanti sehingga iPhone 8 untuk akhirnya mendengar permintaan pengguna.

5. Tiada Pembesar Suara Stereo

iPhone X, Samsung Galaxy S9 dan Sony Xperia XZ2 adalah tiga peranti utama di pasaran dengan rekaan skrin memanjang. Ketiga-tiganya juga menyertakan sokongan pembesar suara stereo  bagi kenikmatan audio yang maksimum. OnePlus 6 tidak tergolong di dalam kategori ini dan hanya dilengkapi pembesar suara mono. Kami tergolong di dalam kumpulan insan yang kerap menonton siri TV pada peranti dan audio mono tidak lagi boleh dimaafkan pada sebuah peranti kelas utama.

6. Masih Tiada Sokongan Kad Mikro-SD

Akhir sekali ialah tiada slot untuk kad mikro-SD. Peranti ini mampu merakam video pada tetapan 4K 60FPS dan ini dengan pantas akan memakan ruang storan terbina. Alasan yang pernah didengari mengapa tiadanya slot kad mikro-SD ialah untuk membawakan kemampuan kalis air tetapi OnePlus 6 tidak mempunyai kemampuan kalis air penuh. Alasan ini tidak boleh diguna pakai.

Pernah juga kami dengari kad mikro-SD perlahan untuk dipadankan dengan storan UFS. Ini alasan diberikan Samsung apabila slot mikro-SD dibuang pada Galaxy S6. Umum diketahui kad mikro-SD yang pantas untuk rakaman 4K kini sudah terjual secara meluas. Tiadanya sokongan ini tidak membawakan kecacatan besar kepada OnePlus 6 tetapi boleh dipandang negatif kerana peranti pesaing ada menyertakannya.


Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan senarai di atas. Tetapi ini adalah kerana OnePlus masih menggunakan moto “Never Settle”. Pada OnePlus 6 terdapat banyak fungsi tidak disertakan atas pelbagai sebab. Mungkin tiba masanya moto ini digantikan kepada “Never Pay More” kerana jika ada satu perkara yang konsisten tentang syarikat ini ialah harga peranti yang masih mampu milik bagi peranti kelas utama.

Di Malaysia ia dijual pada harga bermula RM 2549 sebuah. Bagi memastikan harga jualannya kompetitif, beberapa fungsi tidak disertakan. Terletak pada pengguna untuk memilih peranti ini atau peranti lebih mahal tetapi disertakan dengan kesemua loceng dan wisel.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd