Kerangka Spigen Mengubah iPhone X Untuk Kelihatan Seperti iPhone 2G Dan iMac G3

Kerangka Spigen Mengubah iPhone X Untuk Kelihatan Seperti iPhone 2G Dan iMac G3

Diterbitkan pada Mei 19, 2018 oleh .

Anatara ura-ura awal yang didengari mengenai iPhone X (yang pada waktu tersebut dikenali sebagai iPhone 9) ialah ia akan mempunyai rekaan seakan iPhone generasi pertama. Usai pelancaran, ura-ura ini nyata kurang tepat cuma bingkai logam iPhone X sahaja menyamai iPhone asal. Bagi pemilik iPhone X, Spigen menghasilkan kerangka yang mengubah telefon pintar ini untuk kelihatan seperti iPhone 2G dan juga iMac G3.

Untuk kerangka iPhone 2G, bahagian belakang mempunyai dua tona warna perak dan hitam. Butang sisi pada kerangka turut berwarna hitam seperti telefon pintar yang mengubah landskap telefon selular pada tahun 2007. Kerana ia keluaran Spigen, teknologi menyerap hentakan disokong bagi memastikan peranti dilindungi sekiranya terjatuh.

Kerangka kedua pula mempunyai rekaan menunjukkan komponen dalaman seperti rekaan iMac G3 sebenar. Seperti iPhone, iMac G3 memberikan anjakan paradigma rekaan sebuah komputer peribadi yang sebelum itu mempunyai pilihan warna yang membosankan. Pada panel hadapan terdapat rekaan menyamai skrin hadapan, pemacu optikal dan pembesar suara.

Aneh sekali Spigen menggunakan platform biayasama Indiegogo untuk mengumpul dana menghasilkan dua kerangka ini. Anda boleh menyokong projek ini dengan membayar $35 (~RM 139) untuk kedua-dua kerangka atau $25 (~RM 99) untuk satu kerangka. Terdapat juga kerangka yang sama untuk iPhone 8 dihasilkan.


TIPS & ULASAN