Cari @ Amanz

Lebih nipis dan lebih berkuasa. Ini adalah dua kriteria yang dipopularkan oleh telefon pintar. Tahun demi tahun jutaan dibelanjakan bagai menghiris berbapa milimeter pada rekaan telefon pintar bagi membuatkannya lebih menarik berbanding model tahun terdahulu. Realitinya sekarang ramai pengguna tidak lagi mementingkan kenipisan peranti asalnya ia selesa di dalam genggaman tangan.

Budaya menipiskan produk juga boleh ditemui pada komputer riba. HP Spectre 13 ialah antara komputer riba ternipis di dunia. Persoalan di benak kami ketika menerima peranti ini untuk diulas ialah sama ada sebuah komputer riba nipis praktikal untuk kegunaan harian dan berbaloikah membayar harga premium untuk kenipisan ini. Ulasan ini akan cuba menjawab soalan-soalan tersebut.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

HP Spectre 13
Skrin 13.3″ IPS WLED HD Penuh
Pemproses Intel Core i7-8550U
Grafik Intel UHD Graphics 620
RAM 8 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman 256GB SSD PCIe NVMe M.2
Kamera 0.9 Megapixel. 720P
USB 2 X Thunderbolt 3 USB-C, 1 X USB-C 3.1
HDMI Tiada
Pembaca Kad Tiada
Imbasan Wajah (Windows Hello)
Bateri 43.7 Wh
Harga Jualan RM 6299

Skrin 13.3″ WLED dengan resolusi HD penuh digunakan dengan bingkai sisi yang nipis. Skrin yang digunakan mempunyai sokongan skrin sesentuh. Pada hemat kami Windows 10 ialah sistem operasi yang memerlukan sokongan skrin sesentuh apabila digunakan pada komputer riba. Pelbagai perkara dapat dilakukan dengan jari sebagai ganti kepada tetikus yang mungkin jarang digunakan. Kaca Gorilla digunakan pada skrin ini bagi memastikan ketahanan impak maksimum.

Selain skrin sesentuh, Spectre 13 turut mempunyai sistem imbasan wajah Windows Hello terbina. Bagi sebuah komputer riba premium, sistem imbasan wajah dan skrin sesentuh adalah perlu sebagai justifikasi meletakkan harga jualan yang mahal. Kamera web yang digunakan hanya mampu mengambil gambar pada resolusi 0.9-Megapixel (1280×720 pixel) dan video 720P 3o FPS. Kedua-dua tetapan kamera ini pada hemat kami mengecewakan bagi sebuah komputer riba untuk kegunaan profesional.

Pemproses empat teras Intel Core i7-8550U dipadankan dengan memori sebesar 8GB LPDDR3 dan storan 256GB SSD PCIe NVMe M.2. Tiada kad grafik disertakan kerana tiada ruang yang mencukupi. Oleh grafik terbina Intel UHD Graphics 620 sahaja disertakan. Jelas sekali ini bukanlah komputer riba yang mensasarkan golongan peminat permainan video.

Pilihan I/O adalah amat terhad dengan dua port Thunderbolt 3 USB-C, satu port USB-C untuk pengecasan dan bicu audio 3.5mm. Kedua-dua port Thunderbolt 3 ini boleh menyokong dua paparkan skrin 4K secara serentak. Ketiadaan port USB-A dan pembaca kad akan menyukarkan pengguna yang masih tidak mempunyai aksesori dengan kabel USB-C.

Berita baik bagi anda ialah pihak HP menyertakan dua penyesuai dengan setiap pembelian. Satu penyesuai USB-C ke USB-A dan sebuah lagi USB-C ke HDMI, USB-C dan USB-A. Saiz penyesuai adalah kecil tetapi ikhlas kami keperluan membawanya keluar sepanjang masa adalah sedikit melecehkan. Korban pertama ke arah penghasilan komputer riba yang nipis nampaknya ialah port-port yang paling diperlukan oleh kebanyakan pengguna.

Sebuah bateri sebesar 43.7 Wh Li-ion  (4 sel) membekalkan kuasa kepada komputer riba ini. Bagi memuatkan bateri ke dalam tubuh yang nipis, rekaan bateri step cell digunakan. Ini ialah rekaan susunan bateri yang sebelum ini dilihat pada Apple MacBook 2016. Pengecasan dilakukan menggunakan kepala USB-C dengan sokongan pengecasan pantas. Menurut HP, bateri boleh dicas ke tahap 50% dalam masa hanya 30 minit. Ini adalah fungsi yang amat kami sukai pada telefon pintar dan sudah sampai masanya disokong secara meluas pula pada komputer riba di pasaran.

Kesemua komponen ini disumbatkan kepada kerangka nipis yang hanya seberat 1.1 kilogram. Ia antar komputer riba yang paling ringan pernah kami ulas di makmal Amanz. Sepanjang tempoh ulasan boleh kami katakan hampir tidak terasa beban apabila Spectre 13 dikendong sepanjang hari di dalam beg.

Rekabentuk

Rekaan ialah tarikan utama HP Spectre 13. Rekaannya amat premium dan ini jarang sekali kami lihat pada komputer riba. Model yang diulas berwarna coklat gelap Dark Ash  dengan kemasan sisi berwarna tembaga. Kombasi dua warna ini menghasilkan sebuah komputer riba yang kelihatan bukan sahaja premium tetapi seksi.

Engsel yang digunakan berbentuk huruf C yang berputar masuk ke dalam tubuh komputer riba. Ini ialah rekaan yang sama seperti model sebelum ini tetapi kami difahamkan engsel tahun ini diperkukuhkan bagi mengurangkan gegaran ketika menaip.

Sebuah lagi perubahan ialah kedudukan pembesar suara. Pada model sebelum ini ia diletakkan bersebelahan papan kekunci. Kali ini ia diletakkan di atas papan kekunci dan berfungsi seakan sebuah sound bar. Rekaan geometri yang digunakan berfungsi sebagai kekisi audio.

Pada bahagian belakang terdapat tiga port UBS-C dan bicu audio yang kami katakan sebelum ini. Tiada ruang yang mencukupi untuk meletakkannya pada bahagian sisi. Di bawahnya pula terdapat dua lohong udara untuk sistem penyejukan. Terdapat juga tiga pelapik getah dengan rekaan memanjang yang memastikan bahagian bawah Spectre 13 tidak tercalar.

Luas permukaan pelapik getah ini amat besar sehingga sukar sehingga hampir mustahil untuk ia tergelincir dari permukaan meja. Kebanyakan komputer riba yang kami ulas hanya menyertakan pelapik kecil berbentuk bulat.

Walupun tubuh komputer riba ini amat nipis, ia adakah cukup kukuh. Ia tidak melengkung dengan mudah terutamanya pada bahagian papan kekunci. Ini biasanya adalah kawasan yang melentur dengan mudah apabila ditekan. Pemilik Spectre 13 tidak perlu risau komputer riba mereka melengkung seperti sebuah iPhone 6.

Papan Kekunci

Walaupun amat nipis, HP masih menyertakan papan kekunci bersaiz biasa dengan travel yang memuaskan. Ia setanding dengan papan kekunci HP Envy yang kami ulas beberapa bulan yang lalu. Kekunci mempunyai ruang yang mencukupi antara butang. Terdapat juga sokongan lampu berwarna putih. Walau bagaimanapun keterangan lampu tidak boleh dilaraskan.

Sepanjang dua minggu mengulas komputer riba ini kami tidak mempunyai sebarang rungutan mengenai papan kekunci. Ia amat selesa digunakan untuk jangka masa yang lama tanpa mengakibatkan kesakitan pada hujung jari. HP membuktikan kepada Apple bahawa sebuah komputer riba yang nipis masih boleh dilengkapi sebuah papan kekunci normal tanpa perlu menggunakan sistem Butterfly yang kini mendatangkan pelbagai masalah.

Seperkara lagi yang kami sukai tentang papan kekunci ini ialah susunannya. Butang kawalan keterangan skrin, tahap kelantangan bunyi, mod pesawat dan kawalan media kesemuanya tersusun dalam baris F-Key. Ini memudahkan kawalan dilakukan pantas kepada kesemua fungsi di atas. Ada pengeluar yang meletakkan kawalan bunyi misalnya pada kunci anak panah yang kedudukannya agak canggung.

Sebagai seorang penulis sepenuh masa, papan kekunci Specte 13 ini amat memuaskan sekaligus melepasi piawaian peribadi kami.

Pad Sesentuh

Saiz pad sesentuh yang disertakan adalah lebih kecil dari yang biasa kami gunakan tetapi masih berfungsi dengan baik. Kesemua kawalan gesture Windows 10 dapat disokong. Kawalan zoom menggunakan dua jari juga lancar. Pad sesentuh menggunakan driver Synaptics. Kami menyedari kawalan gesture Windows 10 pad sesentuh tidak selancar sekiranya ia menggunakan Windows Precision Driver.

Perisian palm rejection yang digunakan juga baik kerana dengan bijak mengesan telapak tangan sekiranya ia menyentuh pad. Butang klik adalah lembut tetapi tidak longgar seperti yang kami temui pada komputer riba Avita beberapa bulan yang lalu.

Sepanjang tempoh ulasan ia berfungsi dengan baik tanpa sekalipun kami terasa ingin menggunakan tetikus walaupun untuk melakukan suntingan gambar. Seperti papan kekuncinya, pad sesentuh Spectre 13 berfungsi pada tahap yang amat memuaskan.

Penggunaan

Kemasan Dark Ash yang digunakan adalah pusam dan tidak memerangkap cap jari dengan mudah. Rekaan Spectre 13 bukan sahaja seksi tetapi nampaknya praktikal kerana tiada insan di dunia ingin menghabiskan masa mengelap permukaan komputer riba yang kerap kotor.

Menaip menggunakan Spectre 13 adalah amat selesa apabila ia diletakkan pada permukaan meja. Walaupun ketika kami menaip dengan agresif, skrin tidak bergegar. Tetapi menggunakan komputer riba ini di atas riba adalah kurang selesa.

Pertama sekali ialah berat komputer riba yang tertumpu ke bahagia belakang. Apabila meletakkannya ia di atas riba, ia bergolek ke belakang. Tangan perlu sentiasa menekan bahagian papan kekunci bagi mengelakkan ia terjatuh ke belakang.

Seperkara lagi ialah bahagian bawah menjadi amat panas apabila digunakan untuk jangka masa yang lama. Panas sehingga menjadi mustahil untuk meneruskan kerja. Riba terasa seakan dipanggang di bawah barah api. Kepanasan ini merebak pula pada sebahagian kawasan papan kekunci. Ini ialah komputer riba yang kami tidak boleh sarankan digunakan di atas riba melainkan anda mahu menyalai daging sendiri.

Penanda Aras

Pemproses Intel Core i7-8550U yang digunakan adalah dari generasi terkini serta dilengkapi empat teras. Ini memberikannya kuasa yang mencukupi untuk segala tugas yang di lontar kepadanya. Dengan memori sebesar 8GB, ia turut memastikan program yang digunakan dapat berfungsi dengan lancar sepanjang masa. Ini ialah konfigurasi pemproses dan RAM yang sama seperti HP Envy yang telah kami ulas pada penghujung tahun lalu. Perbezaan antara kedua-uda model ialah tiadanya kad grafik NVIDIA GeForce MX150 pada Spectre 13.

Tiada sebarang masalah dihadapi sepanjang tempoh ulasan. Malahan harus kami katakan HP Spectre 13 ialah komputer riba Windows 10 untuk kegunaan pejabat yang paling pantas yang pernah kami ulas setakat ini. SSD yang digunakan mampu mencatatkan kadar membaca data mencecah 1.67 Gbps dan menulis pula pada kadar 1.23 Gbps. Majoriti SSD yang digunakan pada komputer riba yang diulas sebelum ini hanya mencatatkan kadar pemindahan data di bawah 700 Mbps.

Boot up dapat dilakukan dalam masa empat saat. Melancarkan program hantar sekelip mata. Jika kepantasan dalam menghidupkan komputer riba dan program adalah teratas di dalam senarai kepentingan adan, Spectre 13 ialah komputer riba yang kami sarankan tanpa berfikir panjang.

Seperti anda boleh lihat di bawah, kemampuan grafik untuk permainan video komputer riba ini adalah rendah. Tetapi harus diingatkan Spectre 13 tidak direka untuk sesi permainan video. Sebagai komputer riba kerja, ia cukup berkuasa untuk hampir kesemua program yang digunakan untuk tugasan harian.

Audio

Sistem audio Bang&Olufsen digunakan dengan konfigurasi dua pembesar suara pada bahagian. Seperti kami katakan di beberapa perenggan di atas, kedudukan pembesar suara telah diubah dan kini berfungsi seperti sebuah soundbar. Kekisi pada bahagian atas kelihatan menarik dengan rekaan geometri yang cantik.

Dari segi kelantangan, dua pembesar suara ini menghasilkan bunyi yang kuat tetapi amat jelas jika dibandingkan dengan pembesar suara komputer riba yang pernah kami ulas. Treble cukup tajam dan bass berdentum dengan cukup baik untuk sistem audio pada sebuah komputer riba. Harus kami akui agak terkejut dengan kemampuan audio Bang&Olufsen yang digunakan ini.

Bagi mereka yang ingin melakukan talaan audio manual, perisian Bang&Olufsen Audio yang diberikan memberikan kawalan tahap bass, treble dan kejelasan dialog. Tiga pra-tetapan yang diberikan pula adalah untuk muzik, filem dan suara. Secara keseluruhan pembesar suara untuk Spectre 13 ini mungkin yang terbaik pernah kami dengari untuk sebuah komputer riba.

Bateri

HP mengatakan bateri 43.7 Wh yang disertakan mampu bertahan sehingga 11 jam. Tetapi dalam penggunaan seharian dengan skrin pada keterangan 50% dan tetapan kuasa sederhana, Spectre 13 mampu bertahan sekitar 6 jam sahaja. Ini adalah lebih rendah berbanding purata lapan jam pada komputer riba lain yang kami pernah ulas sebelum ini.

Apabila kehabisan bateri, masa mengecas semula komputer riba adalah sekitar 90 minit. Ini adalah kerana wujudnya sokongan pengecasan pantas dan sedikit sebanyak mengurangkan kekecewaan kami dengan prestasi bateri yang tidak memuaskan ini.

Kesimpulan

Dari segi rekaan, HP Spectre 13 ialah komputer riba dengan rekaan paling cantik dan unik pernah kami ulas setakat ini. Ianya amat tidak konvensional dan amatlah nipis. Kemasan berwarna Ash Brown dan tembaga membuatkannya kelihatan seperti sebuah hasil seni. Penampilan luarannya dipadankan dengan komponen dalaman yang tidak kurang hebat. Pada model yang diulas, pemproses Intel Core i7 terkini dipadankan pula dengan 8GB RAM dan storan 256 GB SSD pantas adalah kombinasi yang memastikan komputer riba ini tidak akan mempunyai masalah untuk melaksanakan tugasan harian.

Walaupun nipis, HP menyertakan sebuah papan kekunci yang masih berfungsi seperti papan kekunci biasa. Ia selesa digunakan dengan travel yang mencukupi. Kekunci yang digunakan jauh lebih praktikal berbanding sistem Butterfly pada MacBook Pro. HP membuktikan dalam keghairahan menghasilkan komputer riba nipis, papan kekunci yang praktikal dengan rekaan normal masih boleh disertakan.

Engsel skrin yang digunakan juga adalah cukup teguh. Ini adalah perlu kerana terdapat sokongan skrin sesentuh serta mengelakkan gegaran ketika menaip dengan agresif.

Jika anda membaca ulasan-ulasan komputer riba yang kami terbitkan sebelum ini, rata-ratanya menyentuh kualiti pembesar suara yang mengecewakan. Spectre 13 ialah yang pertama kami ulasan mempunyai pembesar suara yang memuaskan. Rekaan seakan soundbar yang digunakan bukan sahaja cantik tetapi memastikan audio terpancar terus ke telinga pengguna. Treblenya gemeresik dan tahap tetapan audio yang cukup lantang. Bass mungkin tidak sebaik yang kami inginkan tetapi jauj lebih baik berbanding sistem audio komputer riba yang lain.

Tetapi tidak semuanya sempurna pada Spectre 13. Ia hanya dilengkapi tiga USB-C, dengan dua adalah port Thunderbolt 3. Pilihan I/O ini mungkin amat terkini tetapi hakikatnya masih ramai memerlukan port USB-A. Berita baik disini ialah dua penyesuai disertakan dengan pembelian. Salah satunya mempunyai sambungan USB-C, HDMI dan USB-A. HP sekurang-kurangnya tidak memaksa pengguna untuk membeli penyesuai secara berasingan.

Masalah seterusnya ialah ia boleh membakar paha apabila diletakkan di atas riba. Kami langsung tidak boleh menggunakan Spectre 13 di atas paha tanpa terasa seperti dibakar hidup-hidup di atas barbeku.

Tambahan lagi kerana berat komputer riba ini tertumpu kepada bahagian belakang. Apabial dibuka sepenuhnya dan diletakkan di atas paha, ia mempunyai kecenderungan untuk jatuh ke belakang. Pendek kata lappability Spectre 13 adalah kelemahannya yang paling nyata. Ini diikuti pula oleh bateri yang tidak bertahan lama. Kelemahan bateri ini sedikit terubat dengan sokongan pengecasan pantas yang memakan masa sekitar 90 minit.

HP Spectre 13 dijual pada harga di antara RM 5899 hingga RM 6799 bergantung kepada pilihan pemproses (Intel i7 vs i5) dan storan (256GB vs 512GB). Harga jualannya memang amat tinggi dan jelas mensasarkan eksekutif yang berada. Kami hanya boleh menyarankan Spectre 13 kepada mereka yang memerlukan komputer riba adi nipis, ringan, berkuasa, hadir dengan imbasan wajah, kemampuan audio yang amat naik dan sokongan skrin sesentuh. Mereka juga tidak terlalu peduli dengan penggunaan penyesuai dan mempunyai paha yang kalis haba.

PRO dan Kelebihan
  • Komputer riba dengan rekaan paling menarik di pasaran. Kelihatan amat cantik dan premium.
  • Spesifikasi yang tinggi memastikan ia dapat melakukan kesemua tugasan pejabat tanpa sebarang masalah.
  • Papan kekunci yang selesa digunakan untuk menaip dengan pantas.
  • Sistem audio yang mantap.
  • Berfungsi dengan senyap.
  • Kompak dan ringan. Tidak akan membebankan bahu.
  • Terdapat sokongan skrin sesentuh dan imbasan wajah Windows Hello.
KONTRA dan Kekurangan
  • Beroperasi dengan panas sehingga membakar paha.
  • Hayat bateri yang pendek. Tidak mampu melepasi 6 jam pada penggunaan sederhana.
  • Pilihan I/O yang terhad.
  • Kamera web hanya sekadar beresolusi 720P.
  • Harga jualan yang kurang mampu milik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd