MIUI adalah antaramuka sistem operasi Android yang dibina oleh Xiaomi. Ia terkenal dengan kemaskini yang pantas, pengurusan RAM yang baik dan juga antara sistem yang mudah digunakan. Minggu lepas, telah saya laporkan Xiaomi sedang menguji rekaan baru dalam MIUI 8.5.11 yang tertiris. Di dalam MIUI yang tertiris ini terdapat beberapa ciri/fungsi baru yang ditambah dan juga yang dikemaskini. Antaranya adalah mod memandu.
Mod memandu untuk Android bukanlah satu perkara yang baru, di dalam custom ROM berasakan Lineage OS sudah pun mempunyai System Profiles – di mana pengguna boleh aktifkan untuk menukar tetapan yang sesuai untuk memandu seperti GPS, mengunci paparan pada mod landskap, mematikan nada dering dan banyak lagi. Seperti Samsung, mereka mempunyai “Car mode (for Galaxy)” di mana ia mengubah peranti Samsung menjadi sebuah sistem inforia. Kini, giliran Xiaomi pula mencuba mod memandu ini.
Dalam MIUI 8.5.11 yang tertiris ini, mod memandu ini masih lagi dalam bentuk ujian dan tidak stabil. Contohnya, walau pun MIUI ini adalah versi Global tetapi tutorialnya masih dalam bahasa Cina. Mod memandu MIUI ini sesuai diaktifkan jika aplikasi peta sedang digunakan. Apabila aplikasi peta seperti Waze sedang dibuka dan mod memandu diaktifkan, pengguna akan mempunyai akses dan kawalan terhad terhadap peranti.
Dalam mod memandu ini pengguna boleh tap di mana-mana bahagian skrin untuk mengaktifkan mod arahan suara. Akan terdapat suara seakan robot wanita memberitahu mod arahan suara telah aktif dan pengguna boleh memberi arahan seperti bertanyakan waktu tiba ke destinasi atau sebagainya. Mod gesture pula secara asasnya memudahkan pengguna mengawal aplikasi peta dengan tatalan yang lebih mudah. Disebabkan tutorial mod ini berbahasa Cina, saya menganggap mod ini sesuai jika menggunakan aplikasi peta yang terbina dalam MIUI versi Cina. Mod arahan suara seterusnya adalah tap pada bar status peranti. Jika pengguna tap pada bar status ini MIUI boleh menjawab panggilan atau membaca SMS yang diterima. Tetapi, pembacaan mesej ini hanya berfungsi untuk Mi Message sahaja.
Jika anda lihat pada gambar di atas, terdapat nyalaan berwarna ungu di keliling pelancar. Nyalaan itu menyatakan mod memandu sedang aktif dan pengguna boleh hanya boleh menggunakan arahan suara, kawalan gesture dan juga tap bar status untuk menggunakan peranti. Jika peranti Xiaomi dengan MIUI versi Cina, mod ini akan lebih efisien dengan bantuan Xiao Ai – iaitu pembantu maya Xiaomi dengan sistem kecerdasan buatan.
Mod ini sememangnya baik bagi pengguna Xiaomi. Saya mengharapkan mod ini hadir dalam versi stabil dengan lebih pantas dan mempunyai integrasi Google Assistant untuk MIUI versi Global. Apakah pendapat anda mengenai mod memandu MIUI ini, adakah anda akan menggunakan mod ini jika ianya sudah stabil?