Blloc – Telefon Pintar Dengan Antaramuka Hitam Putih Minimalis

Blloc – Telefon Pintar Dengan Antaramuka Hitam Putih Minimalis

Diterbitkan pada Mei 21, 2018 oleh .

Tahukah anda setiap warna di dalam sesebuah peranti seperti latar belakang, ikon-ikon atau antaramuka memerlukan cip pemproses dan juga RAM untuk diproses? Percaya atau tidak kini wujud sebuah peranti yang kurang menggunakan warna dan boleh menjimatkan penggunaan RAM dan sekaligus memberi prestasi tambahan. Peranti itu adalah Blloc Zero17.

Blloc Zero17 adalah sebuah telefon pintar yang memfokuskan rekaan minimalistik pada antaramuka sistem dan juga hampir keseluruhan aplikasi terbina. Ia menggunakan sistem operasi tersendiri iaitu Blloc OS berasaskan Android dengan tema hitam putih. Blloc turut memfokuskan kepada kemudahan berkomunikasi dan juga produktiviti.

Selain itu, Blloc Zero17 menyatakan peranti mereka ini mampu memberi informasi pantas, membalas mesej dengan mudah atau juga membuat carian pantas melalui satu sistem garis masa yang terbina dalam Blloc OS. Menurut mereka juga, Blloc OS adalah sistem operasi bebas gangguan. Ia dibina berasakan Android Oreo 8.1 dan tidak mempunyai sebarang ciri yang tidak sepatutnya diletakkan dalam sesebuah peranti.

Merujuk pada gambar, Blloc OS mempunyai 3 muka utama iaitu garis masa, aplikasi yang tersusun seperti Live Tiles Windows Mobile dan juga ruang notifikasi. Ruang tiles aplikasi ini dinamakan sebagai the Roots yang memberi pengguna akses mudah kepala aplikasi seperti membuat tempahan Uber, membuka aplikasi media sosial, menyemak cuaca atau pun mendengar lagu daripada Spotify.

 

Walaupun Blloc Zero17 adalah peranti dengan sistem hitam putih, ia mempunyai satu ciri yang dinamakan sebagai Color Touch yang boleh mengembalikan warna seperti peranti Android biasa. Menurut Blloc, pilihan tema hitam putih ini adalah untuk menjimatkan penggunaan kuasa dan memberi prestasi tambahan.

Blloc Zero17 adalah sebuah telefon pintar dengan skrin 5.5″ berresolusi FHD+ dengan kontras ratio 1000:1, dikuasakan dengan cip pemprosesan MediaTek Helio P23, RAM sebesar 4GB, storan dalaman 64GB, kamera 13 Megapixel dengan sokongan RAW serta kemampuan rakaman video 4K/30 FPS dan juga bateri sebesar 3100 mAh. Rekaan Blloc Zero17 adalah seakan Xiaomi Mi Mix 2 dan ia mempunyai panel kaca di bahagian belakang dan juga aluminium pada sisi.

Secara kesimpulannya Blloc adalah sebuah telefon pintar dengan ekosistem unik untuk memberi pengalaman berbeza kepada pengguna. Ia kini sedia dipra-tempah pada harga hanya 359 (~RM1677).


TIPS & ULASAN