Pos Malaysia Memperkenalkan Kad Raya Hologram Bersempena Hari Raya Tahun Ini

Pos Malaysia Memperkenalkan Kad Raya Hologram Bersempena Hari Raya Tahun Ini

Diterbitkan pada Mei 21, 2018 oleh .

Di era revolusi teknologi yang serba mudah dan canggih kini, ucapan kad raya bukanlah satu idea yang popular lagi untuk kita semua. Jika dahulu, penghantar surat Pos Malaysia sangat sibuk dengan penghantaran kad-kad raya sempena perayaan di Malaysia, kini dengan teknologi yang sedia ada membuatkan orang ramai menghantar ucapan raya melalui maya sahaja.

Jadi, sempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba pada Jun kelak, Pos Malaysia telah membawa kembali nostalgia penghantaran kad raya kepada kita semua dengan memperkenalkan Kad Raya Hologram.

Pos Malaysia

Pos Malaysia memperkenalkan dua set kad raya hologram yang berbeza. Setiap set mempunyai tiga jenis kad yang berlainan bersama sampul surat yang disertai dengan setem 50 sen. Hal ini sekaligus memudahkan orang ramai untuk menghantar terus kad raya ke pejabat pos. Untuk jenis kad yang pertama, terdapat tiga keping kad yang membolehkan orang ramai untuk memainkan animasi dalam bentuk realiti gabungan (Augumented Reality).

Jenis kad raya seterusnya adalah poskad edisi khas yang disertakan sempena tayangan filem yang bertajuk “Pulang” yang bakal ditayangkan selepas Hari Raya tahun ini dan akhir sekali kad raya Hologram.

Untuk memainkan fungsi Hologram ini, anda perlu memuat-turun satu aplikasi yang dinamakan sebagai Hologram Raya di Play Store atau Apple Store. Di dalam kad raya hologram tersebut, disertakan sekali adalah sebuah plastik hologram yang perlu dilekatkan pada skrin telefon pintar anda untuk melihat paparan dalam bentuk hologram.

Set kad raya ini dijual pada harga RM12 untuk setiap pek kad ucapan 3D Hologram Raya yang didalamnya disertakan dengan satu kad ucapan Hari Raya, satu sampul dengan setem 50 sen, satu projektor plastik hologram dan satu poskad filem Pulang edisi terhad. Kad raya ini boleh didapati di 400 pejabat pos terpilih atau secara dalam talian di laman sesawang Eziemall.

Bagi anda yang ingin menghantar kad ucapan Raya, satu diskaun khusus untuk kad ucapan telah diberikan oleh Pos Malayia pada kadar 50 sen. Tempoh promosi ini terhad bermula 17 Mei sehingga 12 Jun 2018 ini sahaja.

Beli: Kad Raya Hologram Pos Malaysia


TIPS & ULASAN