Menjadi kebiasaan untuk para pemilik web dan penerbit kandungan digital untuk melihat kepada pelbagai arena dalam menjana pendapatan tambahan. Pada hari ini, terdapat beberapa penyedia yang menawarkan kemudahan untuk penerbit kandungan ini menjana pendapatan tambahan, termasuk Google melalui Google AdSense dan Facebook melalui Facebook Audience Network.
Tidak ketinggalan, kini Twitter turut hadir dengan penawaran mereka tersendiri yang masih pada peringkat ujian, dinamakan Twitter Timeline Ads.
Melaluinya, ia membolehkan pemilik web untuk mengintegrasikan paparan garis masa akaun Twitter mereka di web milik mereka, dan seterusnya turut memaparkan iklan melaluinya.
Dengan langkah ini, ia membolehkan penerbit kandungan dan pemilik web untuk menjana pendapatan tambahan dengan memaparkan garis-masa Twitter pada perkhidmatan berkenaan.
Buat masa ini, program ini dibuka untuk diakses secara terhad di Amerika Syarikat sahaja, dan dijangka akan diperluaskan tidak lama lagi.