Cari @ Amanz

Evolusi perniagaan semakin hari semakin berubah. Dahulu syarikat teksi diketahui kekuatannya dengan jumlah bilangan teksi yang dimiliki mereka, atau rangkaian hotel lebih terkenal jika mempunyai pelbagai lokasi yang menyediakan penginapan. Masa telah berlalu dan ekonomi baru dilihat lebih aneh apabila syarikat pengangkutan tetapi tidak mempunyai kenderaan milik mereka (Uber/Grab) atau penyedia rumah rehat namun tidak memegang hakmilik lokasi tersebut (Airbnb).

Contoh diatas mungkin contoh yang popular dalam dunia teknologi namun sedar atau tidak, ia tergunapakai pada hampir semua industri dan penting bagi perniagaan untuk berubah mengikut kesesuaian semasa. Sekiranya perniagaan tidak berubah mengikut keperluan semasa, ia bakal mengancam survival perniagaan itu sendiri yang pasti membahayakan pelbagai pihak.

Itulah yang dihadapi oleh Sunmoon Food Company pada tahun 2007, dimana mereka mempunyai lambakan aset terutamanya ladang. Ladang buah-buahan sekitar 1,900 hektar dengan tenaga kerja yang ramai menyebabkan syarikat dari Singapura ini diambang bangkrap pada tahun tersebut, sehinggalah Gary Loh mengambil tempat bagi mengendalikan syarikat tersebut.

Di acara Orace Netsuite Suiteworld yang berlangsung baru-baru ini, Gary Loh telah berkongsi sedikit sebanyak mengenai peralihan mereka dari syarikat tradisional yang mempunyai pelbagai ladang, sehinggalah menjadi syarikat yang kini menjual pelbagai buah-buahan namun tidak lagi mempunyai ladang.

Bagi menjayakannya, mereka telah menjual ladang-ladang kendalian mereka sebaliknya menerima buah-buahan secara terus dari peladang. Ini membolehkan setiap segmen dalam urusan perniagaan mereka, daripada buahan di ladang, terus kepada penghantaran buah tersebut dan penjuallannya dipantau secara terus oleh Sunmoon. Dan apabila setiap proses berkaitannya dipantau secara terus, ia membolehkan syarikat membuat sebarang keputusan secara terus tanpa perlu menunggu masa.

Bagi syarikat buah, masa adalah satu faktor penting kerana buah-buahan yang tidak dipantau, tidak disemak, akan rosak dan menyebabkan kerugian. Melalui pemantauan bersandarkan teknologi, situasi tersebut dapat dielakkan. Bagi Gary sendiri, sewaktu syarikat Sunmoon mempunyai pelbagai ladang dan satu syarikat yang melampau besar, banyak masalah yang perlu diselesaikannya tetapi perniagaan tetap perlu berjalan, seolah-olah sedang melakukan pembedahan otak sementara pesakit masih sedar.

Namun perubahan yang dilakukannya dapat diterima dan melonjakkan Sunmoon kearah keuntungan. Dengan Oracle Netsuite, ia membolehkan kesemua data-data pada setiap urusan perniagaan diteliti. Mereka dapat memantau status penghantaran, menjejak sesuatu kargo, malah mengeluarkan invois dan mengutip bayaran pada pasaran pelbagai negara.

Pernah satu ketika terdapat kejadian kebakaran di pejabat mereka namun mereka bernasib baik kerana kebanyakan dokumen serta kesemua proses perniagaan mereka telah di-digital-kan menjadikan perniagaan mereka tidak terganggu dengan kejadian tersebut.

Sunmoon juga kini mempunyai lebih dari 22,000 sistem POS (Point-of-Sale) membolehkan setiap transaksi diketahui dan dalam skala besar, mereka dapat memantau mengenai permintaan setiap buah. Malah secara berjenaka Gary menyatakan, harga Durian di Malaysia naik berikutan peningkatan permintaan dari China untuk buah-buah durian dari ladang di Malaysia.

Dalam berkongsi mengenai penggunaan lain Netsuite dalam operasi Sunmoon, lima bulan selepas mereka menggunakan Netsuite, mereka telahpun menggunakan SuiteCommerce Advance yang membolehkan pekedai-pekedai melakukan pesanan stok untuk buah di kedai mereka. Menurut Gary lagi, di Malaysia sebanyak 40 pekedai MBG yang menggunakan POS mereka lalu berupaya melakukan pesanan dengan pantas memandangkan SuiteCommerce turut membolehkan rekaan laman web mini (Microsite) untuk kegunaan dalaman.

Untuk masa hadapan, Gary berkongsi sedikit sebanyak apa yang Sunmoon bakal lakukan termasuklah kearah penggunaan teknologi rantaian blok (Blockchain Technology) dalam urusan perniagaan mereka. Menggunakannya, buah-buah atau karton buah dapat diletakkan kod QR atau teknologi internet berhubung (IoT) membolehkan pemantauan buah untuk setiap proses, malah mengetahui penjualan buah tersebut akan kesesuaian mereka, sama ada sebagai produk segar, produk sejuk, atau produk sejuk beku.

Ini jelas menunjukkan betapa teknologi dan kepakaran sesebuah sistem terutamanya Netsuite dalam menyelesaikan masalah syarikat secara harian serta meluaskan pasaran ke seluruh negara berupaya menyelamatkan syarikat dari ambang kebankrapan. Kini, Gary Loh merupakan CEO dan produk buah-buahan Sunmoon tersedia di 20 negara, dari rantau Asia Tenggara sehinggalah ke Amerika Syarikat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd