Honor Malaysia hari ini telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka secara rasminya, iaitu Honor 10. Telefon pintar ini boleh dikatakan menawarkan sebahagian ciri-ciri yang lebih kurang sama seperti Huawei P20.
Honor 10 hadir dengan skrin bersaiz 5.84-inci dengan paparan resolusi 1080p, dilengkapi takuk pada bahagian atas skrin, menggunakan cip Kirin 970, memori 4GB RAM, dan ruangan storan 128GB. Tiada sokongan mikro-SD yang disertakan bersama-sama dengannya.
Untuk rakaman gambar, ia menyertakan dwi-kamera gabungan sensor 24-megapixel dan 16-megapixel, selain kamer ahadapan 24-megapixel. Honor 10 turut menyertakan integrasi kecerdasan buatan dalam menghasilkan rakaman yang cantik melaluinya – termasuk bersama beberapa mod khusus seperti Potrait Lighting, mengenal pasti objek dirakam, dan beberapa yang lain.
Honor 10 hadir dengan bateri berkapasiti 3400mAh, dan hadir dengan sokongan pengecasan pantas. Peranti ini boleh dicas sehingga 50% dalam masa sekitar 24 minit.
Honor 10 menggunakan sistem operasi Android 8.1 Oreo dengan antaramuka EMUI 8.1 bersama-sama dengannya.
Di Malaysia, Honor 10 akan dijual pada harga RM1699 dan boleh didapati dalam empat pilihan warna, iaitu hitam, kelabu, biru dan juga hijau. Ia akan ditawarkan bermula 24 Mei 2018 ini.
Menariknya, antara 24 Mei hingga 31 Mei kelak, untuk pembelian Honor 10, pengguna akan turut diberikan rebat RM100, sekaligus membolehkan ia didapati pada harga RM1599.