Cari @ Amanz

Zaman sekarang sudah banyak peranti dan perkakasan direka semula untuk menjadi mudah alih. Tetapi itu semua adalah dalam arena peranti pintar atau juga dalam kategori komputer, bagaimana pula dengan perkakasan dalam rumah? Kini Xiaomi melancarkan Shuawadi – iaitu sebuah hampagas nirwayar dengan tanda harga yang mampu milik.

Hampagas nirwayar ini memfokuskan pembersihan kotoran ringan seperti habuk pada katil, bulu-bulu haiwan, kotoran pada mainan kanak-kanak atau mana-mana permukaan yang mudah didatangi alergen, tungau dan mikrob lain. Kotoran ringan seperti inilah yang menyebabkan penyakit-penyakit atau alahan, oleh itu hampagas ini bukan sahaja membersihkan kotoran ringan tetapi juga menghapuskan segala bakteria. Hampagas ini menghapuskan bakteria dengan menggunakan penembusan ultra-viloet (UV-C).

Hampagas nirwayar Shuawadi ini mempunyai bateri 2200mAh terbina dan mampu berfungsi selama 25 minit. Pengecasan pula mengambil masa sekitar 2.5 Jam dan ia mempunyai berat 1.3KG iaitu agak ringan bagi sebuah hampagas mudah alih yang berkuasa. Selain itu, bekas hampagas ini adalah 0.4L dan ia mudah untuk dibuka untuk membuang segala kotoran yang dibersihkan.

Seperti biasa, produk-produk unik daripada Xiaomi akan dijual di laman biayasama mereka Youpin. Hampagas nirwayar Shuawadi ini berharga RMB299 (~RM187) sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd