Razer hari ini memperkenalkan kemaskini untuk keluarga komputer riba memfokuskan permainan video daripada mereka, iaitu Razer Blade. Model terbaru yang diperkenalkan adalah Razer Blade dengan skrin bersaiz 15.6-inci, sekaligus menjadikannya sebagai skrin paling besar pada Razer Blade buat masa ini.
Dengan penawaran panel skrin besar, Razer juga turut menawarkan beberapa pilihan, termasuk skrin paling responsif 144Hz bersama-sama dengannya – sekaligus menawarkan permainan dan tugasan multimedia yang sangat lancar. Pengguna juga turut diberikan pilihan dengan skrin sentuh 4K.
Melengkapkan komputer riba ini juga adalah cip Intel Core i7 generasi kelapan, selain dilengkapi dengan pilihan kad grafik GTX 1060/1070 Max-Q.
Seperti penawaran Razer yang lain, ia turut hadir dengan papan kekunci dilengkapi sokongan pencahayaan Razer Chroma, selain bateri yang sanggup bertahan sehingga 7 jam lamanya.
Razer Blade 15.6-inci ini juga turut menawarkan sokongan untuk dihubungkan bersama tiga monitor tambahan lain melaluinya.
Buat masa ini, harga jualan Razer Blade baru ini untuk pasaran tempatan masih tidak diketahui lagi.