PlayStation 4 Menghampiri Fasa “Terakhir” – Dijangka Disokong Sehingga 2021

PlayStation 4 Menghampiri Fasa “Terakhir” – Dijangka Disokong Sehingga 2021

Diterbitkan pada Mei 23, 2018 oleh .

CEO Sony Interactive Entertainment, John Tsuyoshi Kodera hari ini menyatakan bahawa konsol PlayStation 4 kini semakin hampir ke fasa “terakhir” ketika Investor Relations Day 2018 di Tokyo, Jepun hari ini.

Menurut beliau, sejak tahun ini hasil penjualan perkakasan PlayStation 4 agak berkurangan seperti yang kami laporkan sebelum ini dengan jangkaan jualan serendah 16 juta sahaja bagi tahun berikutnya. Namun begitu, beliau menyatakan bahawa hasil pendapatan dari segi langganan seperti Playstation Plus masih lagi kukuh buat platform tersebut.

Beliau mengatakan bahawa hasil jualan PlayStation VR juga agak rendah daripada apa yang dijangkakan. Walaupun ia masih lagi terjual, beliau ingin memfokuskannya secara lebih realistik pada masa akan datang.

Selain itu, John Tsuyoshi Kodera juga mengatakan permainan pihak pertama merupakan komponen utama untuk membawa Sony ke hadapan. Sony juga akan mengembangkan lagi permainan sedia ada kepada francais baru ataupun mengemaskan semula permainan tersebut dengan penawaran grafik dan sokongan terkini.

Menariknya, melalui laporan berkenaan, John Tsuyoshi Kodera menyatakan menjelang 2021 ini, PlayStation mungkin akan “berehat” untuk “berkembang” pada masa akan datang.

Kenyataan berkenaan boleh dikatakan agak samar-samar, dan tidak menyatakan pengumuman sebarang perkakasan baru seperti konsol PlayStation 5. Akan tetapi, tahun tersebut agak menarik dimana ia agak selari dengan laporan sebelum ini berkaitan dengan jangkaan konsol seterusnya dari Sony yang mungkin akan diumumkan.

Dengan kenyataan tersebut juga, sememangnya pihak Sony Interactive Entertainment akan terus menyokong konsol PlayStation 4 sekurang-kurang sehingga tahun 2021 dan mungkin juga lebih dari itu.

Tambahan juga, John Tsuyoshi Kodera juga menyatakan bahawa mereka kini akan memfokuskan untuk memperkembang pelanggan berbanding penjualan perkakasan. Sebelum ini, Sony pada tahun 1994, berharap untuk menjual 1 juta unit konsol, tetapi kini mereka berharap untuk memperoleh 100 juta pengguna aktif PSN (PlayStation Network) bulanan.

Dengan segala kenyataan yang dikeluarkan oleh John Tsuyoshi Kodera, kami di Aksiz juga percaya bahawa jualan PlayStation 4 kini berada di tahap kemuncak dan mungkin pada masa akan datang, hasil jualan tidak akan meningkat seperti tahun-tahun sebelum ini. Namun, ini juga tidak bermakna bahawa Sony akan membawa konsol seterusnya pada masa terdekat. Memandangkan masih lagi terdapat banyak permainan pihak pertama yang masih belum dilancarkan (Death Stranding, The Last Of Us Part II, Days Gone), kami percaya fasa terakhir yang dimaksudkan oleh beliau mungkin akan mengambil masa beberapa tahun lagi dan pihak Sony akan terus menyokong konsol PlayStation 4 sekurang-kurangnya sehingga tahun 2021.

Artikel ini telah diterbitkan di Aksiz terlebih dahulu. Ikuti Aksiz untuk berita permainan video terkini dengan lebih pantas.


TIPS & ULASAN