Lagenda raksasa Loch Ness atau lebih dikenali sebagai Nessie bermula sejak 565 masehi. Tetapi ia mula dikenali di seluruh dunia selepas sebuah gambar penampakannya diambil pada tahun 1934. Sungguhpun gambar ini telah dibuktikan sebagai palsu, masih ramai yang percaya Nessie wujud dan meneruskan pencariannya sehingga kini. Antara usaha yang pernah dilakukan ialah menggunakan radar dalam air untuk mengimbas keseluruhan Loch Ness.
Pencarian terkini yang akan dilakukan ialah dengan menggunakan teknik Environmental DNA (eDNA). Penyelidik dari University of Otago, New Zealand akan mengambil sampel air dari Loch Ness pada kedalaman tertentu. Sekiranya Nessie wujud, DNA spesis yang tidak dikenali akan ditemui di dalam sampel yang diambil. Ini adalah kerana hidupan biologikal akan membuang najis, kulit dan pelbagai bahan genetik yang boleh dikesan.
Teknik eDNA sebelum ini telah digunakan untuk mengkaji spesis ikan, dan mencari kewujudan spesis kerang yang mengancam habitat haiwan setempat. Proses mengumpul sampel akan bermula pada bulan Jun dengan keputusan akan diumumkan pada Januari 2019. Adakah anda percaya akan kewujudan Nessie?