Minggu lepas OnePlus 6 telah pun dilancarkan dan ia membawa beberapa perkara baru berbanding model keluaran lepas. Ia adalah sebuah telefon pintar berkuasa dengan prestasi yang cukup untuk anda jadikan ia sebagai sebuah telefon pintar gaming. Jika dulu, OnePlus terkenal sebagai peranti “Flagship Killer” adakah ini masih boleh digunakan pakai pada OnePlus 6? Ini ialah pandang pertama untuk peranti ini.
Spesifikasi
OnePlus 6 | |
---|---|
Skrin | 6.28″ Optic AMOLED FHD+ (402 PPI) |
Pemproses | Snapdragon 845 |
CPU | 4×2.8 GHz Kryo 385 Gold 4×1.7 GHz Kryo 385 Silver |
Cip Grafik | Adreno 630 |
RAM | 6/8 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 64/128/256 Gigabyte |
Kamera Utama | 16+24 Megapixel f/1.7, OIS+EIS |
Kamera Depan | 16 Megapixel, f/2.0 |
Bateri | 3300 mAh (Pengecasan Pantas) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
Jalur LTE | Global LTE |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | Kalis percikan air |
Sistem Imbasan | Jari, Wajah |
Harga Jualan | Bermula dari RM 2399 |
Skrin 6.28″ Optic AMOLED digunakan dengan resolusi FHD+ pada nisbah 19:9. Walaupun resolusinya adalah FHD+, ia mempunyai aras kecerahan yang baik untuk dilihat di bawah sinaran cahaya yang terik. Lebih menarik, saiz skrin OnePlus 6 ini lebih besar daripada model sebelumnya, tetapi OnePlus masih mengekalkan saiz peranti yang hampir sama dengan OnePlus 5T. Perkara ini berjaya dilakukan dengan rekaan skrin bertakuk mengikut trend yang pasaran semasa yang dipopularkan iPhone X.
OnePlus 6 dijana dengan cip pemproses Snapdragon 845 dan mempunyai pilihan memori sebesar 6/8 GB RAM dan storan sebesar 64/128/256 GB. Sayang sekali, peranti ini tidak menyokong penambahan memori menerusi kad mikroSD. Pemproses Snapdragon 845 yang digunakan ini adalah lebih efisien dan mempunyai kuasa yang cukup hebat berbanding dengan Snapdragon 835. GPU yang disertakan pula adalah Adreno 630, ia mempunyai peningkatan yang mendadak dari segi memproses kandungan 3D berbanding Adreno 540.
Sistem dwi-kamera menggabungkan sensor 16+20 Megapixel f/1.7 + EIS dan OIS dengan “Intelligent Pixel Technology” yang hampir sama dengan OnePlus 5T. Teknologi ini menggabungkan dua gambar yang diambil dari dua kamera yang pada bahagian belakang. Melalui sistem ini, gambar yang lebih baik diambil di dalam situasi pencahayaan yang kurang memuaskan.
Dari segi kemampuan merakam video pula, OnePlus 6 boleh merakam pada tetapan maksimum 4K 60FPS dengan bantuan penstabilan imej elektronik (EIS). OnePlus turut mengembalikan penstabilan imej optik pada OnePlus 6 untuk membantu pengguna menghasilkan gambar dan video yang lebih baik. Kamera swafoto pula adalah sebesar 16-Megapixel f/2.0 dengan kebolehan mod potret pada kemaskini akan datang. Antaramuka kamera peranti ini juga ringkas dan mudah digunakan.
Membekalkan kuasa kepada peranti ini ialah bateri sebesar 3300 mAh dengan kemampuan pengecasan pantas (teknologi sama dengan DASH) melalui USB-C. Menurut OnePlus mengecas peranti selama 30 minit mampu memberi cukup kuasa bateri untuk menggunakan peranti sepanjang hari.
Rekabentuk
Peranti ini mempunyai rekaan skrin bertakuk. Saiz takuknya juga kecil seakan Huawei P20. Selain itu ia mempunyai sisi yang diperbuat daripada besi dan panel belakang yang diperbuat daripada kaca dengan kemasan yang berkilat.
Untuk warna Mirror Black, ia membawakan kemasan seakan panel seramik dengan warna hitam menawan. Sayang sekali, versi ini memerangkap kesan cap jari pada kadar yang serius. Manakala, warna Midnight Black pula membawakan kemasan hitam pusam. Untuk versi ini peranti adalah kurang licin dan tidak memerangkap kesan cap jari dengan mudah.
Butang gelungsur notifikasi kini diletak pada sisi kanan bersama-sama dengan butang kuasa. Pada sisi kiri pula terdapat butang kawalan suara. Butang-butang pada OnePlus 6 kali ini terasa lebih sedap ditekan. Sebuah talam dwi-SIM nano terletak pada sisi kiri. Talam ini perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan dari tubuh peranti.
Sebuah port pengecasan USB-C, kekisi audio dan bicu audio 3.5 mm terletak pada bahagian bawah peranti. Pengimbas cap jari berbentuk bujur terletak pada bahagian belakang di bawah kamera. Lokasi pengimbas cap jari ini boleh dikatakan ergonomik. Terdapat juga sokongan nyah kunci berasaskan wajah turut terbina yang lebih pantas berbanding iPhone X sebagai alternatif nyah kunci lain.
Bercakap tentang panel belakang, satu lagi perkara negatif yang boleh kami sentuh ialah rekaan dwi-kamera yang terkeluar dari tubuh. Ini menjadikan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Pihak OnePlus turut menyertakan sebuah kerangka silikon dengan setiap pembelian, kerangka ini mempunyai ketebalan yang cukup baik untuk memastikan keselamatan permukaan dwi-kamera peranti.
Secara peribadi, peranti seperti OnePlus 6 ini saya lebih gemar menggunakan pelekat vinil DBRAND atau kerangka jenis bumper seperti Rhinoshield. Untuk perlindungan pula, OnePlus juga terdapat sokongan kalis percikan air tanpa sebarang melepasi sebarang tahap IP yang wujud pada peranti pesaing.
OnePlus 6 kali ini sudah tidak lagi sesuai dipanggil sebagai peranti “bajet” kerana harga yang meningkat berbanding model-model terdahulu. Walau bagaimanapun, dengan penawaran sistem operasi seakan Android asli, kemaskini pantas, prestasi hebat atau penggunaan skrin AMOLED, OnePlus 6 adalah sebuah peranti yang mempunyai ciri/fungsi yang cukup untuk seseorang peminat gajet.
Antaramuka
Sistem operasi Android Oreo 8.1 digunakan dengan antaramuka Oxygen OS (O2OS). O2OS adalah sebuah sistem yang hampir kelihatan seperti Android asli tetapi hadir dengan pelbagai fungsi tambahan yang menarik.
Terdapat tiga butang navigasi (back, home, multi-tugas) atas skrin yang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Bagi mereka yang mahukan kawalan seakan iPhone X, terdapat juga mod gesture. Ini tidak mengejutkan kerana fungsi yang sama turut boleh ditemui pada peranti Vivo dan Oppo yang adalah saudara OnePlus di bawah payung BBK Electronics. Malahan Android P juga mempunyai sistem yang sama dan sistem kawalan alternatif ini memberikan pilihan kepada pengguna.
O2OS kali ini mengikuti langkah EMUI pada Huawei P20/P20 Pro. Ia turut membenarkan pengguna menyembunyikan takuk jika terasa diganggu. Untuk ciri/fungsi tambahan lain pula, berikut adalah senarai:
Ambient Display – Paparan jam/notifikasi pada kunci skrin – tetapi latar belakang dimatikan seperti Always on Display dalam Galaxy S9.
Gambar-dalam-Gambar – Memaparkan aplikasi seperti Google Maps atau pemain video pada mod tetingkap.
Gaming Mode – Mematikan notifikasi ketika bermain permua dan juga menambah prestasi.
Hide Notch – Menyorokkan takuk sekiranya kurang digemari pengguna.
Kawalan Gesture – Menggantikan butang navigasi atas skrin dengan kawalan gesture seakan iPhone X.
Parallel Apps – Melancarkan dua aplikasi yang sama seperti WhatsApp menggunakan log masuk berbeza.
Pro Mode – Kawalan manual untuk kamera.
Quick Capture – Menangkap gambar mod potret dengan pantas.
Reading Mode – Menukar warna skrin kepada mod monokrom dengan sedikit penuras suram, untuk keselesaan membaca.
Shelf – Ruang mengakses aplikasi dan widget secara pintas, juga boleh membuat nota.
Kesimpulan
OnePlus 6 ialah sebuah lagi peranti kelas utama dan adalah alternatif lebih mampu milik berbanding peranti kelas utama lain. Perkara positif pertama mengenai peranti ini ialah penggunaan sistem operasi Android 8.1 yang terkini dan turut menyokong kemaskini Android P versi percubaan pembangun kedua.
Keseluruhan peranti diperbuat daripada kaca dan besi dengan tubuh yang selesa di dalam genggaman tangan. Walaupun dijual pada harga sedikit mahal berbanding model lama, ia masih lagi murah berbanding dengan iPhone X atau juga Galaxy S9. OnePlus kini dilihat semakin tidak mendengari pendapat/permintaan peminat setia, ini juga mungkin kerana mereka sentiasa “Never Settle“.
Untuk pengetahuan umum, OnePlus 6 kali ini diedar oleh Mi Han Sdn. Bhd. dan bukan lagi Brightstar. Harga jualan OnePlus 6 di Malaysia bermula dari RM2399 untuk versi 6GB/64B, RM2799 untuk versi 6GB/64GB dan RM3099 untuk versi 8GB/256GB. Nantikan ulasan penuh peranti ini dalam masa terdekat.