Acer Swift 5 Menerima Kemaskini Cip Intel Coffee Lake – Berat Kurang 1kg, Bateri Sepanjang Hari

Acer Swift 5 Menerima Kemaskini Cip Intel Coffee Lake – Berat Kurang 1kg, Bateri Sepanjang Hari

Diterbitkan pada Mei 24, 2018 oleh .

Apabila ia diumumkan dua tahun lalu, komputer riba Acer Swift 5 merupakan diantara komputer riba produktiviti yang cukup popular sekali kerana prestasi dan tanda harganya yang cukup berbaloi.

Di acara Acer GPC di New York, Acer akhirnya mengumumkan Acer Swift 5 ini akan menerima kemaskini baru, bukan sahaja dari segi spesifikasi, malah rekaannya juga diberi nafas baru untuk memenuhi citarasa orang ramai yang inginkan rekaan yang lebih menarik.

Acer Swift 5

Acer Swift 5 ini hadir dengan CPU Intel generasi kelapan Coffee Lake, memori DDR4 sebanyak 16GB RAM dan storan SSD sebesar 1TB. Bukan itu sahaja, walaupun Acer Swift 5 ini mengekalkan bentuk sama sebelum ini, ia juga hadir dengan paparan hampir nirbingkai sebesar 15.6 inci, yang dilihat 1.6 inci lebih besar daripada paparan 14 inci sebelum ini.

Dari segi palam, Acer Swift 5 ini hadir dengan dua port USB 3.1 Type-A, satu USB 3.1 Type-C Gen 2 dengan sokongan untuk kadar penghantaran data 10gbit/s, port HDMI dan juga sebuah pembaca kad SD.

Apa yang lebih menarik lagi ialah berat laptop Acer Swift 5 ini kini kurang daripada 1kg, dan hadir dengan jangkahayat bateri yang dikatakan boleh bertahan selama sehari di pejabat.

Buat masa ini, pihak Acer masih belum mengumumkan lagi bilakah mereka akan mula menjual laptop ini untuk pasaran Malaysia.


TIPS & ULASAN