Samsung suatu ketika dahulu menggunakan sistem operasi Android pada jam tangan pintar mereka. Namun, mereka kemudiannya beralih menggunakan sistem operasi tersendiri berasaskan Tizen OS yang lebih dioptimasikan untuk peranti yang dipakai pada pergelangan tangan berkenaan.
Tizen OS sendiri telah digunakan pada beberapa versi Samsung Gear sehingga kini. Namun, bergerak kehadapan, kita mungkin akan melihat kembali Samsung menggunakan sistem operasi berasaskan Android atau apa yang dinamakan Wear OS pada jam tangan pintar mereka.
Info terbaru ini hadir melalui @evleaks yang mengatakan pekerja Samsung kini sedang menguji jam tangan pintar berasaskan Wear OS, dan bukannya Tizen OS.
Seen on the wrists of Samsung employees: Gear watches running not Tizen, but Wear OS.
— Evan Blass (@evleaks) May 23, 2018
Malah, sebelum ini turut dikatakan Samsung telah mendaftarkan tanda dagang Galaxy Watch – dimana “Galaxy” sering digunakan untuk peranti berasaskan Android.
Apa pun, sama-sama kita nantikan dalam masa beberapa bulan lagi sama ada Samsung turut akan hadir dengan peranti berasaskan Wear OS ataupun mereka akan kekal bersama Tizen OS untuk jam tangan pintar mereka.