Pandang Pertama Acer Predator Helios 500 – Komputer Riba Gaming Berkuasa Mutlak

Pandang Pertama Acer Predator Helios 500 – Komputer Riba Gaming Berkuasa Mutlak

Diterbitkan pada Mei 25, 2018 oleh .

Di acara Acer Global Press Conference di New York, syarikat pembina peranti komputer yang terkemuka tersebut dilihat memperkenalkan pelbagai komputer desktop dan komputer riba untuk pelbagai jenis pengguna.

Diantara komputer riba yang diumumkan di acara tersebut ialah Acer Predator Helios 500, sebuah laptop gaming yang hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa sekali. Kami berpeluang melihat dan berinteraksi dengan laptop ini buat seketika, dan ini adalah pandang pertama kami mengenainya.

Spesifikasi Dan Rekaan

Jenama Predator Helios sebelum ini lebih sinonim dengan laptop gaming yang hadir dengan komponen kelas pertengahan, akan tetapi pada tahun ini, semua itu akan berubah, terutama sekali dengan model Acer Predator Helios 500 ini.

Laptop Helios 500 ini tertiris tidak lama dahulu, dan spesifikasi dalamannya sudahpun diketahui orang ramai. Spesifikasi dalaman yang disahkan Acer termasuklah penggunaan CPU siri Intel Core i7 hingga ke Core i9+, memori DDR4 sehingga 32GB, dan juga gabungan storan SSD NVMe dan juga cakera keras yang cukup besar sekali.

Dari segi grafik pula, ia dilihat bahawa laptop Predator Helios 500 ini hanya akan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 sahaja, walaupun begitu, kad grafik ini adalah model yang biasa digunakan didalam komputer desktop, dan bukan rekaan Max-Q yang boleh dilihat melalui laptop Acer Predator Triton 700 sebelum ini.

Dari segi paparan, laptop Helios 500 ini hadir dengan paparan bersaiz 17 inci yang hadir dengan beberapa pilihan resolusi, termasuklah 4K UHD, WQHD dan Full HD, dan kesemuanya hadir dengan kadar segar semula 144Hz dan juga sokongan untuk teknologi paparan NVIDIA GSYNC.

Apabila kami mendapat peluang untuk melihat laptop ini dengan mata kami sendiri, rekaan laptop ini boleh dikatakan hampir serupa dengan rekaan laptop gergasi Acer Predator 21X yang dilancarkan pada awal tahun lepas.

Walaupun ia tidak setebal laptop tersebut, Acer Predator Helios 500 ini masih lagi boleh dikatakan sebuah peranti “desktop replacement”, sama seperti Predator 21X tersebut. Rekaan rangka polikarbonat berwarna hitam dengan carikan biru kekal pada laptop ini, dan sudahpun menjadi sebati dengan jenama Predator.

Laptop Helios 500 ini juga dilengkapi dengan papan kekunci dengan sistem pencahayaan RGB yang sangat popular kebelakangan ini. Laptop ini juga hadir dengan sejumlah palam I/O yang besar, seperti USB 3.1 Type-A dan Type-C, HDMI, DisplayPort dan juga pembaca kad SD bagi mereka yang selalu menyambung pelbagai jenis peranti pada komputer-komputer riba mereka.

Ciri-Ciri Dan Pengalaman Pengguna

Laptop Acer Predator Helios 500 ini dilengkapi juga dengan sistem pembesar suara Acer TrueHarmony, disamping penggunaan teknologi MaxxAudio yang menjanjikan pengalaman audio yang cukup hebat, tidak kira anda bermain permainan komputer, menonton video ataupun mendengar lagu.

Perisian Acer PredatorSense juga hadir pada laptop ini, dan melalui perisian ini, pengguna boleh mengubahsuai pelbagai ciri pada laptop ini, termasuklah warna dan corak nyalaan RGB papan kekunci, kebolehan meng-overclock CPU dan juga kad grafik, dan kelajuan kedua-dua kipas Aeroblade 3D yang digunakan untuk menyejukkan komponen laptop ini.

Kami sempat menguji kebolehan laptop ini melalui permainan komputer PlayerUnknown’s Battlegrounds untuk beberapa minit, dan selain daripada sela-masa rangkaian yang tidak dapat dielakkan, permainan ini mampu digerakkan tanpa sebarang masalah walaupun tetapan grafik ditetapkan pada tahap maksima.

Dalam pada itu, bahagian papan kekunci laptop ini juga tidak terasa panas langsung apabila permainan tersebut dimainkan. Udara panas dikeluarkan dari bahagian tepi dan belakang laptop ini dengan cekap sekali, walaupun bunyi bising kipas tidak dapat dielakkan,

Ketersediaan

Apabila ditanya, pihak Acer Malaysia berkata bahawa laptop Acer Predator Helios 500 ini akan memasuki pasaran Malaysia, tetapi tidak memberitahu bilakah ia akan mula dijual. Kebarangkalian besar ia akan hadir dengan peranti-peranti Predator yang lain seperti Acer Predator Helios 300 Special Edition dan juga Acer Predator Orion 5000 dan Orion 3000.


TIPS & ULASAN