Pandang Pertama Acer Swift 5 2018 – Penambahbaikan Bersesuaian Dengan Keperluan Moden

Pandang Pertama Acer Swift 5 2018 – Penambahbaikan Bersesuaian Dengan Keperluan Moden

Diterbitkan pada Mei 30, 2018 oleh .

Siri komputer riba Acer Swift ialah diantara peranti yang digemari ramai kerana ia adalah satu-satunya siri laptop didalam jenama Acer yang hadir dengan rekaan nipis dan ringan dan hadir dengan spesifikasi berkuasa yang membolehkan pengguna membuat kerja di mana-mana sahaja, tanpa perlu risau mengenai prestasi dan jangka-hayat bateri peranti tersebut.

Kemaskini Acer Swift 5 terbaru ini diumumkan di acara Acer GPC di Berlin pada tahun lepas, tetapi peranti ini hanya ditunjukkan secara rasminya di acara Acer GPC yang berlangsung baru-baru ini. Penambahbaikan ini bukan sahaja melibatkan pertukaran CPU yang baru, malah rekaannya juga dilihat sedikit berbeza berbanding dengan model tahun lepas.

Bermula dengan spesifikasi dalaman laptop ini, Acer menyatakan bahawa ia dilengkapi dengan CPU Intel Core, memori DDR4 sehingga 16GB dan juga storan SSD sebesar 1TB.

Dari segi rekaan, laptop Acer Swift 5 sebelum ini hadir dengan paparan skrin sebesar 14 inci. Dengan kemaskini terbaru ini, pihak Acer telah mengurangkan saiz bezel paparan mereka ke 5.87mm, dan ini memberikan Acer Swift 5 terbaru ini paparan bersaiz 15 inci dengan resolusi Full HD didalam rangka laptop yang lebih kecil.

Rangka laptop Swift 5 ini juga diubah sedikit untuk menjadikannya lebih ringan. Untuk bahagian belakang paparan dan juga bahagian bawah laptop ini, Acer menggunakan aloi magnesium-lithium, manakala tempat letak tangan menggunakan aloi magnesium-aluminum untuk kekukuhan yang lebih tinggi.

Gabungan kedua-dua aloi ini membolehkan laptop ini mengekalkan beratnya yang ringan, kurang daripada 1kg. Ini cukup bagus, terutama sekali untuk mereka yang sering bekerja diluar, dan memerlukan sebuah laptop yang padat, ringan dan hadir dengan bateri mampu bertahan dengan lama.

Acer Swift 5 ini dilengkapi dengan beberapa palam, termasuklah dua palam USB 3.1 Type-A, satu palam USB 3.1 Type-C, port HDMI dan juga sebuah pembaca kad SD. Salah satu palam USB Type-A ini juga boleh digunakan untuk mengecas peranti walaupun apabila laptop ini dipadamkan sepenuhnya.

Kami sempat melihat laptop Acer Swift 5 ini untuk beberapa ketika di New York, akan tetapi model-model yang dipamerkan hanyalah model yang tidak berfungsi. Akan tetapi, kami diberitahu bahawa model yang ditunjukkan hadir dengan berat sebenar laptop tersebut, dan kami dapati bahawa laptop ini cukup ringan dan boleh diangkat dengan menggunakan jari sahaja.

Sewaktu kami menemubual beberapa pengurus daripada Acer, kami diberi peluang untuk melihat prototaip Swift 5 yang berfungsi, akan tetapi kami tidak dibenarkan untuk melihat spesifikasi khusus laptop ini kerana komponen yang digunakan didalam laptop tersebut tidak sama dengan apa yang akan hadir pada produk akhir kelak.

Ini menjadi satu tanda-tanya misteri kerana Acer Swift 5 satu-satunya peranti didalam siri pengumuman ini yang tidak mempunyai set spesifikasi dan juga tarikh pelancaran yang tetap.

Kebanyakkan daripada peranti-peranti komputer yang diumumkan di acara Acer GPC dikatakan akan hadir pada bulan Mei hingga bulan Julai kelak, tetapi laptop Acer Swift 5 ini dikatakan hanya akan hadir di pasaran antarabangsa pada suku keempat tahun ini.


TIPS & ULASAN