Cari @ Amanz

Kurang seminggu selepas pengguna mula menerima peranti OnePlus 6 terbaru mereka, masalah pertama melibatkannya mula muncul ke arena web. Mula kedengaran rungutan pengguna mengenai masalah pemanasan peranti dan juga prestasi bateri yang mengecewakan.

Sejumlah pengguna di forum rasmi OnePlus, telah memulakan satu bebenang perbincangan mengenai isu ini. Isu ini kelihatan agak serius dan mengecewakan. Jangka hayat bateri OnePlus 6 dilihat tidak sebaik OnePlus 5T yang mempunyai waktu skrin terpasang (SOT) mencecah 8 jam. Majoriti pengguna OnePlus 6 melaporkan peranti mereka hanya mampu mencatatkan SOT sekitar 4.5 jam. Selain itu, terdapat juga pengguna yang melaporkan mempunyai masalah peranti yang menjadi panas selepas digunakan selama 10 minit.

Saya sendiri menggunakan OnePlus 6 dan isu panas masih belum saya alami. Akan tetapi isu bateri yang cepat habis ini memang saya alami sedari secara peribadi.  Sebagai contoh bateri peranti yang dicas sepenuhnya pada jam 5 pagi turun sebanyak 20% pada jam 11 pagi walaupun saya tidak langsung menggunakannya. Isu ini mungkin berkait rapat dengan Oxygen OS atau aplikasi yang berjalan di latar belakang yang tidak dioptimasikan dengan sempurna.

Saya yakin, ini adalah satu masalah yang boleh dibaiki dengan kemaskini sistem sahaja dan ia bukanlah satu masalah perkakasan. Bagi peminat OnePlus yang ingin memiliki peranti ini, OnePlus 6 akan mula dijual di Malaysia pada bulan Jun tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd