Tiga hari yang lalu Steam mengeluarkan kenyataan aplikasi Steam Link mereka telah dihalang dari dipaparkan di dalam App Store kerana konflik perniagaan. Alasan yang diberikan ini tidak berapa jelas dan menimbulkan spekulasi bahawa Apple tidak mahu pembelian permua terjejas akibat aplikasi penstriman permainan video dari PC ini.
Phill Schiller, presiden bahagian pemasaran global Apple telah berkongsi sebab aplikasi tersebut dihalang menerusi emel yang dihantar kepada pembaca laman Macstories. Menurut beliau aplikasi tersebut dihalang kerana didapati melanggar beberapa garis panduan yang ditetapkan oleh Apple mengenai kandungan dan pembelian dalam aplikasi. Beliau menegaskan pihak Apple masih berbincang dengan Steam untuk menyelesaikan isu ini.
Sebagai contoh kandungan yang tidak sesuai (seperti permainan video ultra ganas atau lucah) tidak boleh dipaparkan di dalam aplikasi. Pada waktu yang sama pengguna boleh melakukan pembelian dalam aplikasi terus dari Steam dan memintas Apple. Ini tidak dibenarkan sama sekali oleh garis panduan Apple.
Maka terjawablah sedikit sebanyak maksud di sebalik konflik perniagaan tempoh hari. Sehingga ia diselesaikan, Steam Link hanya akan wujud untuk sistem operasi Android pada peranti mudah alih.