Synopsys Menunjukkan Kemampuan Sokongan USB 3.2 – Penghantaran Data Selaju 1.6GB/s

Synopsys Menunjukkan Kemampuan Sokongan USB 3.2 – Penghantaran Data Selaju 1.6GB/s

Diterbitkan pada Mei 30, 2018 oleh .

Buat masa ini, piawaian USB 3.1 dilihat sebagai piawaian penghantaran data yang paling laju pada 10Gbps. Synopsys, sebuah syarikat rekaan elektronik yang berasal dari Amerika baru-baru ini dilihat telah melengkapkan satu ujian demonstrasi penghantaran data menggunakan piawaian USB 3.2.

Demonstrasi Synopsys ini menunjukkan kebolehan komponen piawaian USB 3.2 ini mampu menghantar data selaju 20Gbps, ataupun data sebanyak 2.0 GB sesaat. Pengawal hos USB 3.2 tersebut dipasang pada platform HAPS-80 FPGA menggunakan papan litar PHY dengan sambungan USB Type-C.

Untuk demonstrasi tersebut, Synopsys menggunakan dua komputer dengan konfigurasi yang hampir sama. Komputer hos dilihat menggunakan sistem operasi Windows 10, manakala komputer sasaran menggunakan sistem operasi Linux. Papan litar PHY yang digunakan direka menggunakan proses FinFET mampu menghantar data selaju 10Gbps, dan Synopsys menggabungkan dua jaluran untuk mendapatkan kelajuan penghantaran data 20Gbps.

Apa yang lebih menarik lagi ialah untuk tujuan demonstrasi penghantaran data ini, Synopsys hanya menggunakan kabel USB 3.1 Type-C untuk menyambungkan kedua-dua komputer tersebut.

Dalam pada itu, syarikat tersebut juga tidak menggunakan sebarang perisian khas untuk mendapatkan kelajuan tersebut. Sewaktu demonstrasi ini juga, Synopsys berjaya menguji kelajuan penghantaran data pada kelajuan 1.6GB/s.

Walaupun begitu, piawaian USB 3.2 masih berada jauh lagi daripada menjadi sebuah piawaian yang boleh digunakan secara meluas, oleh kerana kos yang diperlukan untuk membina peranti-peranti dan aksesori yang menyokong teknologi baru ini.


TIPS & ULASAN