Cari @ Amanz

Di pejabat saya cukup gemar menggunakan fon kepala untuk mengedar muzik. Ini adalah bagi mengelakkan gangguan dan pada waktu yang sama tidak mengganggu teman semeja dengan muzik yang didengari. Tetapi walaupun pejabat dilengkapi pendingin hawa, telinga saya akan berpeluh selepas fon kepala dipasang untuk jangka masa yang lama.

HP Omen Mindframe ialah fon telinga untuk peminat permainan video yang dilancarkan hari ini. Ia mempunyai sistem penyejukan terbina bagi memastikan kesejukan telinga ketika sesi maraton permainan video. Sistem termoelektrik digunakan bagi mengitar udara panas keluar dari kawasan telinga ke bahagian luar.

Pada waktu yang sama sistem suspensi boleh laras di atas kepala menurut HP memastikan fon telinga ini terasa lembut seperti bantal. Sokongan sistem audio DTS Headphone:X dan 7.1 membolehkan pengguna menikmati audio spatial dari dalam permainan video. Fon telinga ini hanya menyokong sambungan secara USB-A sahaja buat masa ini dan turut hadir dengan mikrofon terbina. Tiada harga diumumkan buat masa ini tetapi ia akan mula dijual pada separuh kedua 2018.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd