Asus Malaysia hari ini telah mengadakan sebuah acara khas dan melancarkan beberapa peranti baru, dan menjadi salah satu fokus mereka adalah Asus Zenfone 5. Untuk makluman, ia telah dilancarkan pada MWC 2018 yang lepas, dan kini ia akhirnya hadir untuk pasaran tempatan.
Asus Zenfone 5 hadir dengan rekaan pelbagai trend peranti terkini, termasuk sokongan skrin bertakuk dan dwi-kamera dibelakang.
Dari segi spesifikasi, Asus Zenfone 5 hadir dengan skrin 6.2-inci dengan nisbah paparan 19:9 dan bertakuk diatas, cip Snapdragon 636, memori 4GB RAM, dan storan 64GB. Melengkapkan ia adalah kamera belakang 12-megapixel dan lensa kedua untuk rakaman luas, selain kamera hadapan 8-megapixel. Asus turut menyertakan aplikasi PixelMaster untuk sokongan rakaman yang baik melalui kamera pada peranti ini.
Asus Zenfone 5 ini turut hadir dengan bateri berkapasiti 3300mAh yang dicas menggunakan kabel USB-C, sokongan tri-slot (dwi-SIM dan mikro-SD), serta menjalankan Android Oreo dengan antaramuka ZenUI 5.0.
Asus turut menekankan yang mana mereka menyertakan sokongan kecerdasan buatan pada telefon pintar mereka, sekaligus lebih mengoptimasikan peranti berasaskan penggunaan seseorang.
Di Malaysia, Asus Zenfone 5 akan dijual pada harga RM1299 bermula daripada minggu hadapan.