Apple Mempatenkan Rekaan Kaca Yang Lebih Tahan Lasak

Apple Mempatenkan Rekaan Kaca Yang Lebih Tahan Lasak

Diterbitkan pada June 1, 2018 oleh .

iPhone 8, 8 Plus dan iPhone X adalah tiga peranti Apple pertama dengan panel belakang yang diperbuat daripada kaca. Penggunaan kaca ini adalah untuk membolehkan pengecasan tanpa wayar disertakan. Walau bagaimanapun, panel kaca pada iPhone ini mudah retak dan pecah selain itu kos membaikinya adalah mahal. Laman Patently Apple melaporkan, Apple  telah mempatenkan rekaan kaca baru yang lebih tahan lasak

Kaca ini berkemungkinan digunakan sebagai lapisan perlindungan untuk panel skrin atau juga panel belakang peranti. Dalam butiran paten, rekaan dalaman kaca ini mempunyai struktur bergaris yang memberikan kekukuhan tambahan. Selain itu, kekuatan kaca ini juga boleh ditambah lagi dengan menggunakan rekaan garisan bersilang diperbuat daripada gentian kaca yang lutsinar.

Lebih menarik, Apple turut menyatakan lapisan nilam juga boleh digunakan untuk meningkatkan ketahanan kaca ini. Nilam sebelum ini telah pun digunakan pada Apple Watch dan juga perlindungan untuk lensa kamera iPhone. Mungkin akan datang, kita akan lihat keseluruhan iPhone dengan perlindungan daripada nilam.

Buat masa ini, butiran ini hanyalah di dalam dokumen yang dipatenkan. Tidak pasti sama ada rekaan kaca ini akan digunakan pada peranti Apple. Tetapi mungkin peranti Apple di masa hadapan akan mempunyai kaca yang lebih kukuh daripada sekarang.


TIPS & ULASAN