Kamera digital di pasaran sekarang disertakan pada hampir kesemua peranti mudah alih. Kami yakin majoriti pembaca Amanz lebih kerap menggunakan kamera pada telefon pintar berbanding sebuah kamera digital biasa. Kamera yang menggunakan filem semakin terpinggir dan menghala ke arah kepupusan.
Canon EOS-1V ialah kamera filem terakhir yang dikeluarkan oleh syarikat Jepun ini. Mereka telah mengeluarkan kenyataan rasmi menghentikan pengeluarannya semalam. Penghentian pengeluaran ini adalah kerana kamera digital yang lebih popular. Bagi pemilik EOS-1V, Canon akan memberikan sokongan alat ganti dan baik pulih sehingga 31 Oktober 2025.
Hanya minggu lalu, Leica menghentikan pengeluaran kamera filem M7 mereka atas sebab yang sama. Apakah pula kamera analog terakhir yang anda gunakan?