Carian
Saintis Berjaya Menghasilkan Kornea Mata Menggunakan Pencetak 3D
June 1, 2018 Fahim Zahar

Menurut World Health Organization (WHO) terdapat hampir 5 juta orang di seluruh dunia buta disebabkan jangkitan pada kornea mata mereka. Setakat ini cara untuk sembuhkan kornea yang rosak adalah dengan menggantikannya dengan kornea daripada penderma yang sudah mati. Terkini, saintis daripada Newcastle University menemui cara untuk mencetak kornea mata dengan pencetak 3D.

Saintis tersebut telah menemui cara untuk menghasilkan kornea buatan dengan menggunakan sel manusia. Menurut mereka, dakwat-bio harus dihasilkan untuk mencetak menggunakan pencetak 3D. Selain itu, mereka harus memastikan hasil cetakan itu cukup kukuh untuk membentuk struktur 3D kornea. Dakwat-bio itu juga berjaya dihasilkan selepas mereka menambahkan bahan yang seakan agar-agar dan juga sel-sel daripada kornea manusia sebenar.

Buat masa ini, kornea buatan ini belum lagi boleh digunakan. Akan tetapi hasil kajian ini boleh digunakan sebagai teknik untuk menghasilkan kornea buatan yang lengkap pada masa akan datang. Jika sebelum ini satu kornea rosak harus dirawat menggunakan satu kornea yang sihat – kini satu kornea yang sihat boleh menghasilkan 50 kornea buatan.

Kornea buatan ini akan diuji pada haiwan terlebih dahulu. Sehingga ia diyakini selamat, ia masih lagi belum sedia digunakan kepada manusia. Kajian ini juga membuktikan, kornea mata kini boleh dicetak menggunakan pencetak 3D dan akan datang mungkin lebih ramai berpeluang melihat dunia yang indah ini.

Komen