Cari @ Amanz

Saya membesar di dalam dekad 80an dan penggunaan pemain kaset adalah sama seperti menggunakan aplikasi penstriman muzik sekarang. Di rumah terdapat sebuah set Hi-Fi yang besar lengkap dengan pemain piring hitam. Lebih tiga puluh tahun sudah berlalu dan pemain kaset untuk sistem Hi-Fi ini hanya mengumpul debu dan karat di rumah.

Bagi peminat pemain kaset klasik ini, MP3 Tapeless Deck Project telah dibangunkan oleh Artur Mlynarz yang berasal dari Poland. Beliau peminat pemain kaset lama yang mengubahnya menjadi pemain muzik MP3 semasa. Kesemua tombol dan meter pada pemain kaset yang dimodenkan ini berfungsi seperti biasa. Malahan di dalam dek pemain kaset terdapat “kaset” yang berputar.

Ia sebenarnya skrin telefon pintar yang diubah suai dan dimasukkan ke dalam dek kaset. Rekaan “kaset” boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Tajuk lagu, artis dan album dipaparkan pada “kaset” bagi apabila muzik dimainkan. Mengawal pemain juga boleh dilakukan dengan menekan roda kaset. Selain memainkan fail MP3, ia turut boleh, memainkan fail FLAC, menstrim muzik dan radio internet.

Antara dek pemain kaset klasik yang diubah suai adalah berjenama Marantz, Onkyo, Aiwa, Technics, Pioneer dan Akai. MP3 Tapeless Deck Project menjual beberapa pemain kaset klasik dengan harga bermula dari €190 (~RM 883) sebuah. Memandangkan ia dek kaset, pengguna harus mempunyai satu set amplifier dan pembesar suara berasingan untuk menggunakan MP3 Tapeless Deck.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd