Carian
Google Photos Versi Web Kini Hadir Dalam Bentuk Aplikasi Web
June 4, 2018 Fahim Zahar

Progressive Web App (PWA) adalah sejenis aplikasi untuk web yang akan berjalan dengan tetingkapnya sendiri dan turut mempunyai ikon pintasan tersendiri. PWA paling berkualiti yang dihasilkan Google adalah Google Maps Go – iaitu Google Maps versi ringan yang berasaskan pelayar web.

Kini, Google turut mengemaskini laman Google Photos untuk menyokong PWA ini. Dalam Google Chrome untuk desktop versi 67, Google membenarkan pengguna mengaktifkan fungsi ini pada Google Photos. Jika anda tidak jumpa pilihan untuk menggunakan fungsi ini, anda boleh aktifkan melalui flags di bawah.

 chrome://flags/#enable-desktop-pwas

Selesai aktifkan, buka laman Google Photos dan tekan menu Chrome di hujung kiri dan pilih “Create Shortcut”. Kemudian satu pop-up akan muncul untuk pengguna pasang dengan menekan “Install”. Selepas selesai membuat pemasangan, akan terdapat satu ikon pintasan Google Photos pada desktop. Jika pengguna tekan ikon tersebut ia akan melancarkan Google Photos versi web dalam tetingkap tersendiri.

Secara asasnya PWA ini adalah hampir sama dengan Instant Apps yang dilihat dalam Android Oreo 8.0. Membezakan Instant Apps dengan PWA adalah PWA menyokong kedua-dua Android dan Desktop, manakala Instant Apps hanya untuk Android.

Komen