Cari @ Amanz

Pernah suatu ketika Oppo menghasilkan peranti utama dengan spesifikasi tinggi di bawah keluarga Find. Kali terakhir ia dihasilkan ialah pada tahun 2014 dengan Find 7 yang menjadi acuan kepada OnePlus One. Oppo mengesahkan mereka akan melancarkan Find X dalam masa terdekat dan rekaan peranti ini telah tertiris ke arena web.

Hanya panel belakang saja dapat dilihat buat masa ini menerusi imej yang tertiris ke laman Weibo. Ia mempunyai rekaan dwi-kamera menegak pada bahagian tengah menyerupai OnePlus 6 tetapi tiada pengimbas cap jari di bawahnya. Ini mungkin petanda awal Find X mungkin akan mempunyai pengimbas cap jari terbina dalam skrin seperti Vivo X21.

Terdapat ura-ura ia mungkin mempunyai spesifikasi yang sama seperti OnePlus 6 iaitu skrin 6.28″ AMOLED FHD+, pemproses Snapdragon 845, memori sehingga 8GB RAM dan sokongan pengecasan VOOC. Tiada maklumat mengenai pelancaran diketahui setakat ini tetapi bagi mereka yang mendambakan peranti Oppo berspesifikasi tinggi, Find X mungkin telefon pintar yang amat dinantikan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd