Acara Computex 2018 berterusan hari ini dengan pengumuman pemproses terbaru dari Qualcomm iaitu Snapdragon 850. Pemproses ini adalah yang pertama dihasilkan Qualcomm khusus untuk komputer riba Windows 10 Always Connected PC. Dari segi rekaan ia dihasilkan menggunakan teknologi FinFET 10nm, dan dilengkapi lapan teras.
Empat teras Kryo 385 Gold dipadankan dengan empat teras Kryo 385 Silver. Teras Kryo 385 Gold pada Snapdragon 850 berfungsi pada kelajuan 2.95 GHz dan adalah lebih pantas berbanding yang digunakan pada Snapdragon 845 sebelum ini. Ia masih mengekalkan cip grafik Adreno 630 dan cip LTE X20.
Selain daripada itu ia juga menyokong skrin dengan resolusi 4K dan sokongan HDR 10. Selepas kemaskini WIndows 10 Creators Update, pemproses ini turut mampu menggunakan aplikasi 64-bit yang sebelum ini tidak disokong pemproses keluaran Qualcomm.Pihak Qualcomm turut mengumumkan komputer riba pertama yang akan menggunakan pemproses Snapdragon 850 akan dihasilkan oleh Samsung.