Cari @ Amanz

Nama ASUS ProArt kebiasaannya terkenal untuk monitor. Pada acara Computex 2018, ASUS memperkenalkan desktop ProArt pertama – ProArt PA90 dan juga monitor ProArt baharu.

Desktop ASUS ProArt ini menggunakan rekaan menara untuk kerangkanya. Tema rekaannya adalah untuk kelihatan profesional dan minimal. Saiz keseluruhan desktop ini juga adalah kecil dan ia mudah untuk diletakkan di mana-mana sahaja.

Menguasakan desktop ini adalah Intel Core generasi kelapan, kad grafik NVIDIA Quatro dan mempunyai Intel Optane Memory untuk meningkatkan kelajuan storan mekanikal. Tiada maklumat lain mengenai desktop ini. Akan tetapi pihak ASUS memadankan desktop ProArt PA90 ini dengan monitor ProArt PA34V.

ASUS ProArt PA34V adalah monitor ultralebar 34-inci dengan nisbah 21:9. Monitor ini menggunakan teknologi Adaptive-Sync yang memfokuskan warna dan mempunyai kadar segar sehingga 100Hz.  Panel monitor ini menggunakan IPS 1900R dengan resolusi UWQHD 3440 x 1440.

Monitor ini juga mempunyai teknologi ASUS Eye Care untuk penjagaan mata pengguna. Untuk penyambungan pula monitor ASUS ProArt PA34V ini mempunyai 2x Thunderbolt 3, 2x HDMI 2.0 dan 1x DisplayPort 1.2. Menurut ASUS, monitor ini sesuai untuk kedua kerja dan juga permainan video.

Jadi, jika anda adalah seorang yang bekerja dan turut gemar bermain permainan video – set ProArt ini adalah padanan yang sesuai. Untuk harga dan tarikh boleh mula dibeli, masih lagi belum diketahui. Jadi sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd