Semenjak hujung tahun lepas, ramai pihak menjangkakan bahawa NVIDIA akan melancarkan kad grafik generasi terbaru mereka pada awal tahun ini.
Apabila jangkaan tersebut meleset, hadir pula ura-ura yang menyatakan bahawa NVIDIA ingin mengeluarkan dua siri kad grafik baru yang dinamakan Ampere dan Turing yang dibina khusus untuk pengguna biasa dan juga mereka yang sering melombong kriptowang.
Terkini, di acara media tertutup di Computex Taipei, Jensen Huang akhirnya menidakkan semua ura-ura tersebut dengan menyatakan bahawa NVIDIA tidak akan melancarkan kad grafik baru berdasarkan cip pemprosesan grafik Volta dalam masa yang terdekat ini.
Apabila ditanya, CEO NVIDIA tersebut tidak memberi sebarang butiran mengenai bilakah syarikat tersebut akan mengumumkan kad grafik siri terbaru mereka. Syarikat tersebut kini dilihat menumpukan fokus mereka buat masa ini kepada teknologi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin dengan pengumuman kad grafik NVIDIA Tesla V100 dan juga mesin pelayan NVIDIA DGX-2.
Untuk skala masa, kali terakhir NVIDIA mengumumkan kad grafik siri terbaru mereka ialah dua tahun lalu apabila mereka memperlihatkan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 dan GeForce GTX 1080.