Pandang Pertama ASUS ZenBook Pro 14 Dan 15 – Gabungan Rekaan Nipis, Prestasi Berkuasa Dan Gimik Yang Menarik

Pandang Pertama ASUS ZenBook Pro 14 Dan 15 – Gabungan Rekaan Nipis, Prestasi Berkuasa Dan Gimik Yang Menarik

Diterbitkan pada July 16, 2018 oleh .

Apabila bercakap mengenai inovasi untuk peranti-peranti seperti komputer riba dan sebagainya, kebanyakan jenama biasanya akan cuba merekacipta sebuah peranti yang nipis, dan hadir dengan spesifikasi yang lebih berkuasa, dan juga bateri yang tahan lebih lama.

Ini bukanlah sesuatu yang buruk, tetapi jika anda inginkan kelainan daripada penaiktarafan yang linear saban tahun, ia mungkin agak membosankan.

Selepas pengumuman peranti ASUS ROG Phone yang cukup menarik sekali, ASUS dilihat mengumumkan siri laptop ASUS ZenBook Pro yang hadir dengan rekaan nipis, prestasi yang boleh dikatakan “best-in-class” dan juga sebuah gimik yang agak menarik pada pendapat saya.

Rekaan Dan Spesifikasi

Laptop ASUS ZenBook Pro ini hadir dengan dua model dengan paparan dan rekaan yang agak berbeza. ASUS ZenBook Pro 14 hadir dengan paparan hampir nirbingkai dengan resolusi Full HD 1920×1080 pixel, manakala ASUS ZenBook Pro pula dilengkapi dengan paparan bersaiz 15 inci yang mempunyai resolusi setinggi 4K 3840×2160 pixel.

Dari segi spesifikasi, laptop ASUS ZenBook 14 hadir dengan pilihan CPU Intel Core i5 dan i7 generasi kelapan Coffee Lake, manakala model ZenBook Pro 15 pula hadir dengan pilihan CPU yang sama, tetapi diberi juga pilihan untuk CPU Intel Core i9-8950HK, CPU Intel untuk siri laptop yang paling berkuasa setakat ini.

Kedua-dua laptop ini juga hadir dengan memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga gabungan storan SSD dan cakera keras sebesar 1TB. Perbezaan spesifikasi juga dapat dilihat lagi dari segi kad grafik, dimana ASUS ZenBook Pro 14 ini dilengkapi kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050, manakala laptop ZenBook Pro 15 pula dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 Ti.

Selain daripada saiz paparan dan penggunaan kad grafik, terdapat beberapa perbezaan rekaan yang hadir pada kedua-dua laptop ini. terutama sekali daripada segi engsel paparan.

ZenBook Pro 14 misalnya menggunakan engsel ErgoLift yang pernah digunakan pada beberapa model lain sebelum ini. Anehnya, model ZenBook Pro 15 inci tidak menggunakan engsel ErgoLift ini, dan apabila ditanya, kami tidak mendapat penjelasan yang memuaskan daripada pihak ASUS.

Dari segi palam pula, kedua-dua laptop ini dilengkapi dengan dua palam USB Type-A dan USB Type-C, dan juga sebuah palam HDMI yang boleh digunakan untuk melanjutkan paparan skrin ke paparan luaran. Model ZenBook Pro 15 juga hadir dengan sebuah pembaca kad MicroSD, dan pada hemat kami, keputusan untuk menggunakan pembaca tersebut cukup aneh sekali kerana golongan kreatif yang akan menggunakan laptop ini kebanyakannya masih akan menggunakan kad SD.

Rekaan laptop ASUS ZenBook Pro ini juga cukup segak, dan rangka aluminumnya diberikan rekaan warna biru metalik yang sangat cantik sekali. ia juga cukup ringan, dan hanya seberat 1.8kg sahaja untuk model 15 inci, manakala model 14 inci mempunyai berat 1.6kg.

ASUS ScreenPad – Gimik Pad Sesentuh Yang Menarik

Dari segi spesifikasi sahaja, ASUS ZenBook Pro 14 dan 15 ini boleh dikatakan Ultrabook kelas bangsawan yang cukup berkuasa sekali. Akan tetapi, ASUS tidak berhenti di situ sahaja, dan telah mengambil idea daripada Touchbar Macbook Pro, dan mengimplimentasinya melalui pad sesentuh, yang kini dijadikan paparan skrin kedua dan diberikan nama ASUS ScreenPad.

Paparan sesentuh ScreenPad ini hadir pada saiz 5.5 inci, dan mempunyai resolusi Full HD 1920×1080 pixel, dan boleh digunakan dengan pelbagai cara, termasuklah sebagai skrin kecil kedua, sebagai lanjutan kepada perisian ataupun secara kendiri, melalui aplikasi ScreenPad yang terbina dan yang boleh dimuat turun.

Ciri ini boleh diaktifkan dan dimatikan melalui pintasan papan kekunci yang memberikan anda beberapa pilihan, termasuklah pengaktifan ciri ScreenPad, ciri lanjutan paparan skrin dan pengaktifan pad sesentuh.

Salah satu keraguan awal saya mengenai ciri ScreenPad ini ialah saya risau ia tidak begitu responsif, tetapi perasaan tersebut terkubur apabila saya mencubanya untuk diri sendiri. Pengaktifan ciri ScreenPad tersebut daripada mod pad sesentuh cukup pantas sekali, dan maklumbalas bebutang ScreenPad juga tidak mempunyai sebaran sela masa, dan saya cukup suka menggunakannya.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ScreenPad ini hadir dengan ciri dimana pengguna boleh melanjutkan paparan skrin, dan ini membolehkan pengguna menggunakannya sebagai paparan kedua untuk pelbagai kegunaan lain seperti menonton video YouTube, sambil anda membuat kerja di skrin utama.

Ciri ScreenPad ini juga hadir dengan aplikasi-aplikasi mereka sendiri seperti Music Player, Calculator dan sebagainya yang membolehkan anda menggunakan pad sesentuh mengikut keperluan anda.

ASUS juga menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan Microsoft untuk membangunkan ciri dimana para pengguna perisian Microsoft Office boleh menggunakan ScreenPad ini sebagai cara untuk mengakses pelbagai ciri dan pintasan untuk perisian Office tersebut.

Aplikasi-aplikasi tambahan untuk ScreenPad ini juga dikatakan boleh dimuat-turun melalui Windows App Store apabila komputer riba ini dilancarkan kelak.

Penutup

Ultrabook ASUS ZenBook Pro 14 dan ZenBook Pro 15 ini dikatakan akan hadir di pasaran dunia sekitar suku ketiga 2018, dan ini termasuklah untuk pasaran Malaysia juga, walaupun buat masa ini, model yang akan diperkenalkan masih tidak diketahui lagi.

Dalam waktu singkat saya sempat membelek ultrabook ZenBook Pro ini merupakan sebuah peranti kerja yang cukup sesuai sekali, khususnya untuk mereka yang bekerja di dalam industri kreatif.

Dengan gabungan CPU Intel generasi kelapan Coffee Lake sehingga Intel Core i9-8950HK dan juga kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050, ia boleh dikatakan bahawa ultrabook ini ialah diantara komputer mudah-alih yang paling berkuasa yang akan tiba di pasaran tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN