Beberapa bulan lalu, AMD dilihat memeperkenalkan CPU AMD Ryzen Desktop 2000 untuk pembina-pembina komputer dan juga untuk mereka yang ingin membina komputer dengan kos yang tidak begitu cekik darah.
Bagi mereka yang mementingkan prestasi pula, AMD baru sahaja mengumumkan kehadiran CPU HEDT (High End Desktop) terbaru mereka, iaitu AMD Threadripper 2 yang berdasarkan proses Zen+ yang digunakan pada siri CPU AMD Ryzen Desktop 2000.
Siri CPU Threadripper generasi pertama (Threadripper 1950X) hadir dengan 16 teras dan 32 bebenang kuasa. Siri Threadripper generasi kedua yang diumumkan hari ini bakal hadir dengan 32 teras dan 64 bebenang kuasa, dua kali jumlah lebih banyak dari sebelum ini.
AMD juga telah membuat beberapa pengumuman menarik mengenai CPU Threadripper 2 ini. Pertama, ia akan hadir dengan model yang mempunyai 24 teras dan 48 bebenang kuasa juga, dan dari segi kelajuan CPU, ia dikatakan mempunyai kelajuan asas 3.0GHz, dan TDP (Total Drawn Power) sebanyak 250W.
Jika anda sudahpun mempunyai sebuah sistem AMD Threadripper sebelum ini, dan hanya ingin menaiktarafkan CPU anda, AMD juga menyatakan bahawa CPU ini boleh digunakan dengan papan induk AMD X399 tanpa sebarang masalah.
Dari segi ketersediaan pula, siri CPU AMD Threadripper ini akan hadir di pasaran pada suku ketiga 2018 ini kelak. Buat masa ini, tiada sebarang maklumat mengenai tanda harga diumumkan.