AMD Mengesahkan Kehadiran Kad Grafik AMD Radeon RX Vega 56 Nano Yang Direka Oleh PowerColor
AMD

AMD Mengesahkan Kehadiran Kad Grafik AMD Radeon RX Vega 56 Nano Yang Direka Oleh PowerColor

Diterbitkan pada June 7, 2018 oleh .

Beberapa minggu lalu, sebuah kad grafik bersaiz kerdil yang dibina berdasarkan kad grafik AMD Radeon RX Vega 56 diperlihatkan oleh syarikat pembina kad grafik AMD yang bernama PowerColor.

AMD membuat pengumuman di acara mereka sendiri bahawa kad grafik tersebut, yang dinamakan PowerColor Radeon RX Vega 56 Nano ialah sebuah kad grafik yang akan hadir ke pasaran, khusus untuk mereka yang ingin membina komputer yang kecil tetapi berkuasa.

Saiz kad grafik ini boleh dikatakan lebih kurang dengan saiz kad grafik AMD Radeon RX Fury Nano, dan dibina berdasarkan kad grafik AMD Radeon RX Vega 56.

Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan 56 Compute Unit dan memori HBM2 sebanyak 8GB. Dari segi kelajuan GPU, pihak AMD mahupun PowerColor masih belum lagi mengesahkan jika ia akan hadir dengan kelajuan yang sama dengan kad grafik asas RX Vega 56 ataupun tidak.

Dari segi rekaan, dapat dilihat bahawa kad grafik ini hadir dengan penyejuk yang sedikit lebih panjang daripada PCB yang digunakan untuk merumahkan cip grafik Vega tersebut, dan hanya sebuah kipas yang digunakan untuk mengalirkan haba daripada penyejuk tersebut.

Dari segi palam pula, kad grafik RX Vega 56 Nano ini menggunakan satu palam 8 pin dan satu palam 6 pin untuk menguasakannya, manakala dari segi output video, kad grafik ini dilengkapi dengan tiga palam DisplayPort dan sebuah palam HDMI.

Buat masa ini, PowerColor masih belum mengumumkan tarikh kehadiran mahupun tanda harga untuk kad grafik yang kecil tetapi berkuasa ini.


TIPS & ULASAN