Telefon pintar memfokuskan kepada permua semakin popular akhir-akhir ini. Sebelum ini kita telah melihat pengenalan peranti memfokuskan permua daripada Razer, Asus ROG, Xiaomi dan juga Nubia. Kini, Honor turut hadir dengan penawaran mereka tersendiri yang dinamakan Honor Play.
Honor Play hadir dengan cip pemprosesan Kirin 970 – yang turut digunakan pada Huawei P20 dan Honor 10. Namun, pihak Honor hadir dengan penawaran pengoptimasian khusus dinamakan GPU Turbo – sekaligus memberikan prestasi permainan yang lebih baik kepada para pemain.
Dari segi spesifikasi, Honor Play hadir dengan skrin 6.3-inci dengan paparan 2280×1080 pixel. Ia hadir dengan rekaan bertakuk diatas, serta menggunakan nisbah skrin 19:9.
Honor Play hadir dengan pilihan memori sehingga 6GB RAM, dan bateri berkapasiti 3750mAh. Melengkapkan ia adalah kamera belakang 16MP + 2MP, selain kamera hadapan 16MP. Penawaran kamera turut hadir dengan sokongan kecerdasan buatan untuk pengoptimasian mod rakaman lebih baik kepada pengguna.
Honor Play ini akan dipasarkan bersama Android 8.1 Oreo serta antaramuka EMUI 8.2. Honor mengatakan ia menyokong permainan 4D yang membolehkan peranti mengenal-pasti beberapa bentuk permainan seperti tembakan, letupan dan sebagainya. Ia turut menggunakan sokongan audio 3D bagi memudahkan pengguna mengetahui arah tembakan dan sebagainya.
Honor Play ditawarkan pada harga bermula 1999 Yuan (sekitar RM1241) – yang mana boleh dikatakan agak kompetitif untuk peranti Kirin 970. Buat masa ini, ia dilancarkan di China sahaja, dan tidak diketahui lagi sama ada ia akan memasuki pasaran tempatan atau sebaliknya.