Android P adalah versi Android yang terkini. Ia membawakan sejumlah ciri/fungsi yang menarik seperti tetapan yang dikuasakan dengan kecerdasan buatan, kawalan gesture, ruang recent apps baharu, dan banyak lagi. Pada acara Google I/O 2018 bulan lepas, Google memperkenalkan Android P DP2 iaitu versi percubaan pembangun kedua dengan menyertakan hampir semua ciri dan fungsi baharu yang diumumkan. Kini Android P DP3 dilancarkan dengan API sistem sekuriti yang baharu.
API sistem sekuriti yang baharu ini adalah “BiometricPrompt“. Ia adalah satu API yang menyeragamkan sekuriti peranti seperti nyahkunci dengan pengimbas cap jari dan juga nyahkunci menggunakan wajah. Ini bermakna, pengeluar peranti kini boleh terus menggunakan API ini untuk sistem sekuriti peranti mereka dan tidak lagi perlu membangunkan sistem mereka tersendiri.
Selain itu, Google turut menyertakan tampalan sekuriti Jun dan juga 157 emoji baharu termasuk emoji pistol baharu, meriam, adiwira dan banyak lagi. Turut memudahkan pengguna dan para pembangun adalah butang “clear all” untuk membuang semua aplikasi di recent apps kini kembali.
Seperti biasa kemaskini sistem Android yang terawal akan diberikan kepada barisan peranti Pixel terlebih dahulu. Bagi mereka yang sudah menjalankan Android P DP2, anda boleh terima DP3 melalui OTA. Manakala, cara lain adalah dengan flash melalui fastboot. Bagi peranti lain pula, kemaskini Android P DP3 adalah bergantung kepada pengeluar.