Pada telefon pintar Samsung Galaxy Note FE, S8/S8+, Note 8 dan S9/S9+ terdapat satu ciri sekuriti menarik iaitu Intelligent Scan. Ciri ini mempunyai beberapa pilihan sekuriti seperti imbasan mata atau juga imbasan wajah. Kegunaan Intelligent Scan ini adalah untuk menyahkunci peranti dan juga pembayaran melalui Samsung Pay.
Kini, pelayar web Samsung Internet versi 7.4 beta, pengguna boleh menggunakan Intelligent Scan ini untuk pengesahan identiti ketika log masuk di web atau juga pembayaran atas talian. Selain itu, mod membaca turut dikemaskini dengan pilihan pengubahsuaian warna latar, penukaran font dan juga penukaran saiz font. Untuk sejarah muat turun pula, pengguna kini boleh menyusun semua senarai fail yang pernah dimuat turun mengikut kategori.
Dalam Samsung Internet versi 7.4 beta ini juga mempunyai kemaskini yang spesifik untuk negara India, Amerika Syarikat dan Cina. Di India, pengguna di sana kini boleh lihat anggaran masa diambil untuk memuat turun sesuatu fail. Di Amerika Syarikat pula, pengguna akan menerima notifikasi berita terkini berdasarkan perkhidmatan berita yang dilanggan. Akhir sekali, di Cina pengguna kini lebih mudah membuat carian. Ini kerana pengguna hanya perlu menaip kata kunci dan pelayar web Samsung Internet akan memberikan cadangan.
Itu sahaja kemaskini baru dalam Samsung Internet versi 7.4 beta. Jika anda berminat untuk cuba, anda boleh muat turun melalui pautan di bawah.