Grab sebelum ini telah mengumumkan yang mana mereka akan menawarkan dompet digital untuk transaksi nirtunai. Kini, seperti dijanjikan, sokongan berkenaan telah mula diperkenalkan kepada pengguna tempatan.
Bermula hari ini, pengguna akan dipaparkan dengan notifikasi GrabPay pada aplikasi Grab – membolehkan anda membuat tetapan untuk dompet digital anda.
Dengan adanya GrabPay, pengguna boleh menggunakan ia untuk membuat pembayaran di kedai dengan mengimbas kod QR. Pihak Grab belum mengumumkan senarai kedainya lagi buat masa ini, tetapi memandangkan mereka telah mengumumkan kerjasama dengan Maybank sebelum ini, maka berkemungkinan kedai menggunakan Maybank QRPay turut akan menerima pembayaran melalui GrabPay.
Selain pembayaran di kedai, ia juga turut boleh digunakan untuk memindahkan duit kepada rakan-rakan dan sebagainya. Berbeza dengan beberapa dompet digital lain, GrabPay turut menawarkan mata ganjaran GrabRewards yang boleh digunakan untuk menebus beberapa hadiah dan penawaran menarik.
GrabPay juga memerlukan anda membuat tambah-nilai terlebih dahulu kredit ke akaun GrabPay anda sebelum dapat menggunakannya – walaupun telah memautkan kad anda ke Grab sebelum ini.
Bagi anda yang menggunakan aplikais Grab, boleh menyemak penawaran GrabPay hari ini pada aplikasi anda.