Touch ‘n Go (TnG) merupakan salah satu nama yang tidak asing lagi dalam arena pengangkutan dan transit. Mengenal pasti kelebihan mereka, TnG dilihat tidak ingin ketinggalan dalam era transaksi nirtunai berasaskan peranti mudah-alih. Terkini, TnG dilihat telah pun memulakan ujian pembayaran transit di LRT laluan Kelana Jaya dengan menggunakan aplikasi mudah-alih Touch ‘n Go.
Untuk makluman, Touch ‘n Go telah melancarkan aplikasi TnG Digital pada awal tahun ini untuk telefon pintar Android dan juga iPhone. Pengguna boleh memasangnya pada peranti mudah-alih, dan menambah-nilai pada dompet digital berkenaan.
Kini, melalui ujian terhad yang dilakukan, sejumlah pengguna diaktifkan dengan sokongan pembayaran transit menggunakan aplikasi TnG Digital. Kami sendiri telah berpeluang mencubanya, dan ia dilihat langkah ini mungkin akan memudahkan lagi para pengguna dan tidak perlu risau akan tertinggal kad TnG mereka.
Seperti ramai sedia maklum, pada era masa kini, pengguna mungkin tertinggal dompet mereka di rumah, tetapi bukannya telefon pintar mereka.
Dengan menggunakan aplikasi TnG Digital, pengguna hanya perlu memilih ikon Transit, dan seterusnya sebuah kod QR akan dipaparkan. Pengguna seterusnya hanya perlu menghala kod QR berkenaan pada pengimbas kod yang terpasang pada pintu masuk LRT.
Menurut wakil TnG, imbasan kod QR digunakan kerana ia boleh diakses oleh pelbagai peranti tanpa masalah. NFC tidak digunakan kerana masih terdapat sejumlah besar peranti yang tidak menawarkannya, selain proses pengoptimasian mungkin sedikit menyukarkan. Namun, untuk kod QR ia adalah berbeza, dan boleh digunakan oleh semua peranti.
Daripada ujian yang kami lakukan, ia berfungsi dengan lancar dan pantas. Tiada sebarang lengah masa yang lama, dan ia beroperasi seumpama penggunaan kad TnG versi fizikal.
Menariknya juga, pengguna boleh terus memantau penggunaan dan melihat caj yang terlibat terus pada aplikasi berkenaan.
Kami sendiri dapati langkah ini amat memudahkan pengguna, apatah lagi dengan era masa kini yang sentiasa membuatkan kita memegang telefon pintar.
Menurut pihak TnG, penggunaan kod QR untuk imbasan bagi tujuan transit ini masih pada peringkat ujian lagi. Ujian ini dilakukan pada LRT laluan Kelana Jaya yang melibatkan tujuh stesen, iaitu di LRT Ampang Park, KLCC, Dang Wangi, KL Sentral, Kerinchi, Universiti, dan juga Kelana Jaya.
Bagi anda yang berminat, boleh ke reruai yang dibuka distesen berkenaan dan mendaftar untuk mencubanya. Pihak TnG turut memberikan ganjaran sebanyak RM50 untuk anda mencubanya sendiri dan memberikan maklumbalas supaya ia terus ditambah-baik.
Ujian imbasan kod QR untuk transit ini akan dilakukan oleh TnG sehingga 31 Julai 2018 kelak. Hasil daripadanya akan dikaji sebelum ia dibuat keputusan sama ada diperkenalkan secara meluas ataupun sebaliknya.