Dengan iPhone 7, Apple tidak lagi menyertakan butang home fizikal yang bergerak apabila ditekan. Sebaliknya Taptic Engine digunakan bagi memberikan timbal balas haptik sama seperti yang digunakan pada pad sesentuh MacBook. Menurut laporan Fast Company, sistem haptik ini mungkin akan diperkenalkan pula pada Apple Watch di masa akan datang.
Pada waktu ini Apple Watch dilengkapi dua butang fizikal pada bahagian sisi. Satu butang pada tombol berputar yang boleh ditekan sebagai butang home dan satu lagi sebagai butang kuasa. Apabila sistem haptik digunakan kelak, kedua-dua butang ini tidak akan lagi bergerak dan hanya sistem tombol berputar akan dikekalkan untuk sistem navigasi aplikasi.
Dengan tiadanya butang yang boleh ditekan, Apple Watch akan menjadi lebih kedap air dan mengurangkan jumlah komponen. Taptic Engine sedia akan sudah mencukupi untuk menyokong sistem baru ini.
Butang haptik sepenuhnya ini mungkin diperkenalkan serentak dengan Apple Watch Series 4 yang diramalkan akan dilengkapi skrin yang lebih besar. Penggunaan butang haptik sepenuhnya ini menyerupai apa yang dilakukan pada HTC U12+. Ianya agak canggung pada awalnya tetapi lama kelamaan menjadi biasa. Sama seperti semasa butang home iPhone 7 diperkenalkan beberapa tahun lalu.