Cari @ Amanz

Adikomputer digunakan untuk tujuan kajian biologi, ramalan kaji cuaca, simulasi, explorasi gas serta petroleum, kriptografi dan aeroangkasa. Memiliki sebuah adikomputer pernah suatu ketika menjadi lambang kemajuan sesebuah negara. Sejarah adikomputer bermula dengan Atlas yang dihasilkan di University of Manchester pada 7 Disember 1962. Ia kemudian sinonim dengan nama Cray Supercomputers yang dihasilkan di Amerika Syarikat.

Gelaran adikomputer terpantas di dunia kini milik Summit yang dimiliki oleh Oak Ridge National Laboratory (ORNL) Jabatan Tenaga Amerika Syarikat. Ia dibina oleh gergasi pengkomputeran IBM. Summit mempunyai kelajuan mengira pada kadar 200 petaFLOPS. Ini adalah 60% lebih pantas berbanding TaihuLight milik China yang memegang gelaran adikomputer terpantas sebelum ini dengan kelajuan mengira pada kadar 93 petaFLOPS.

Summit dilengkapi 9125 pemproses 22 teras BM Power 9, 27648 GPU Nvidia Tesla V100, memori sebesar 10 petabyte RAM dan storan sebesar 250 petabyte. Sebanyak 4608 pelayan digunakan yang mengambil ruang sebesar dua gelanggang tenis. Untuk menyejukkan Summit lebih daripada 15,000 Liter air diperlukan setiap minit. Adikomputer ini akan digunakan untuk kajian kanser, pembelajaran mesin, kecerdasan buatan dan rangkaian neural.

Jadi berapa pantaskah Summit berbanding komputer desktop biasa? Ia adalah lebih kurang 1 Juta kali ganda lebih pantas berbanding sebuah komputer riba biasa. Kemampuan Summit mengira dalam masa sesaat memerlukan seorang manusia melakukan satu perkiraan setiap saat selama 6.3 bilion tahun.

Tetapi IBM belum berpuas hati dengan Summit. Mereka kini sudahpun memulakan pembangunan adikomputer yang mempunyai kelajuan mengira pada kadar 1 exaFLOPS – 1 bilion bilion perkiraan sesaat yang lima kali ganda lebih pantas berbanding Summit menjelang 2021.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd