Carian
Microsoft Mengesahkan Sedang Membangunkan Perkhidmatan Penstriman Permainan Tersendiri
June 11, 2018 Aman

Microsoft hari ini telah mengambil pentas utama pada acara E3 2018, sekaligus mengumumkan sejumlah permainan video yang baru. Menariknya, bersama-sama dengannya, pihak Microsoft turut mengumumkan yang mana mereka sedang membangunkan perkhidmatan penstriman permainan tersendiri.

Menurut Microsoft, melaluinya, mereka menjanjikan kualiti permainan seumpama konsol tetapi boleh dimainkan pada sebarang peranti pilihan pengguna.

Dengan langkah ini, ia sekaligus akan membolehkan pengguna untuk memainkan permainan konsol (Xbox) pada komputer riba mahupun telefon pintar dengan mudah. Buat masa ini, Sony sedia menawarkan PlayStation Now, selain NVIDIA yang menawarkan GeForce Now untuk tujuan penstriman permainan video – sekaligus memudahkan pengguna memainkan permainan tanpa memerlukan peranti berkuasa tinggi.

Buat masa ini, info lanjut mengenainya masih tidak diketahui lagi. Kita mungkin akan mendengar lanjut mengenainya dalam bulan-bulan akan datang.

Komen