Alienware Mengemaskini Tetikus Elite Gaming Mouse Dan Wireless Elite Gaming Headset

Alienware Mengemaskini Tetikus Elite Gaming Mouse Dan Wireless Elite Gaming Headset

Diterbitkan pada June 11, 2018 oleh .

Alienware telah mengemaskini dua aksesori untuk permainan video mereka sempena acara E3 2018 yang bermula minggu ini. Alienware Elite Gaming Mouse dan Wireless Elite Gaming Headset dikemaskini bagi meningkatkan kemampuannya berbanding model terdahulu.

Alienware Elite Gaming Mouse terbaru masih lagi mengekalkan rekaan yang sama lengkap dengan sokongan lampu LED AlienFX pada bahagian tubuh. Pembaharuan terletak pada sirip tepi tukar ganti yang kini memberikan pilihan sehingga empat butang. Sebelum ini sirip tepi hanya dilengkapi tiga butang. Dengan penambahan butang ini lebih banyak aksi dapat dipetakan. Empat pembesar 5 gram disertakan sekali bersama sistem pelapik tangan yang boleh dilaras.

Alienware Wireless Elite Gaming Headset pula ialah fon kepala tanpa wayar yang menyokong sistem audio 7.1 Virtual Surround Sound. Seperti Elite Gaming Mouse, fon kepala ini turut menyokong sistem lampu AlienFX. Bateri sebesar 1200 mah yang digunakan boleh memberikan penggunaan sehingga 15 jam dengan sekali caj. Bagi yang memerlukan sambungan berwayar, kabel audio 3.5mm disertakan. Akhir sekali terdapat mikrofon terbina dengan sistem peredam bunyi.

Tetikus Alienware Elite Gaming Mouse akan mula dijual pada penghujung Julai pada harga $89.90 (~RM 358). Fon kepala Alienware Wireless Elite Gaming Headset pula sudah mula dijual pada harga $229 (~RM 916) sepasang.


TIPS & ULASAN