Cari @ Amanz

Di dalam dunia perniagaan moto “pelanggan adalah sentiasa betul”. Pemilik perniagaan harus bersabar dan memastikan pelanggan dilayan dengan baik. Tetapi kerap tular di media sosial pemilik perniagaan yang melayan pelanggan seperti sampah. Kes tular hanya bertahan selama beberapa minggu sebelum dilupakan. Kini di Facebook layanan buruk ke atas pelanggan akan menyebabkan kesan jangka panjang yang boleh merosakkan sumber pendapatan selama-lamanya.

Menerusi garis panduan baru Facebook, syarikat yang kerap menerima maklum balas negatif dari pelanggan akan diharamkan dari menggunakan platform pengiklanan mereka. Pelanggan boleh meninggalkan maklum balas ke atas perkhidmatan yang diterima dari syarikat yang mengiklankan produk. Maklum balas ini akan dikongsi dengan pihak Facebook dan syarikat yang mengiklankan produk. Sekiranya terlalu banyak komen negatif diterima, Facebook akan berkongsi tips dengan perniagaan untuk memperbaiki perkhidmatan.

Pada awalnya jumlah iklan yang dibenarkan akan dihadkan. Sekiranya tiada perubahan dilakukan, barulah mereka diharamkan dari melakukan pengiklanan. Ini adalah adil kepada pelanggan dan juga pemilik perniagaan. Jadi selepas ini jika tular di media sosial, jangan sekadar menulis karya panjang. Laporkan sahaja kepada Facebook supaya impak ke atas perniagaan yang memberikan layanan buruk dapat dirasai.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd