Microsoft Sedang Membangunkan Teknologi Untuk Kedai Tanpa Juruwang

Microsoft Sedang Membangunkan Teknologi Untuk Kedai Tanpa Juruwang

Diterbitkan pada June 14, 2018 oleh .

Kita sedia melihat beberapa konsep kedai tanpa juruwang, dimana ia mengabungkan pelbagai teknologi dalam usaha untuk memudahkan pengguna membuat pembelian. Antara yang popular adalah Amazon Go di Amerika Syarikat, 7-Eleven di Taiwan, dan beberapa kedai di China.

Terkini, Reuters melaporkan yang mana Microsoft turut akan membangunkan teknologi untuk kedai tanpa juruwang, dan akan bekerjasama dengan beberapa pihak dalam merealisasikannya.

Dengan adanya teknologi ini, ia akan memudahkan urusan pembelian dilakukan. Tiada lagi keperluan untuk pembeli beratur untuk membuat pembayaran selepas mengambil barangan dari kedai runcit. Sebaliknya, segala perkara dipantau dan transaksi berlaku secara automatik.

Sebelum ini, Amazon telah memperlihatkan teknologi kedai tanpa juruwang mereka tersendiri. Melaluinya, pengguna akan diperlukan mengimbas telefon pintar sebelum memasuki kedai berkenaan. Sejumlah sensor terpasang pada kedai berkenaan, dimana ia akan merekodkan pembelian dan bilkan terus ke akaun pengguna.

Buat masa ini, teknologi disebaliknya yang akan digunakan Microsoft masih tidak diketahui lagi. Tetapi, memandangkan Microsoft mempunyai kelebihan dalam Project Kinect, maka ia mungkin akan menjadikan proses implementasinya lebih mudah – termasuk untuk mengenal-pasti objek yang dibeli dan sebagainya.

Kita mungkin mendengar lanjut mengenai teknologi kedai tanpa juruwang ini daripada Microsoft dalam masa terdekat ini.


TIPS & ULASAN