Cari @ Amanz

ASUS ZenFone Max Pro M1
Chipset Qualcomm Snapdragon 636
CPU 4 x 1.6 GHz Kyro 260
4 x 1.8 GHz Kyro 260
GPU Adreno 509
Memori 3GB/4GB/6GB RAM
Storan 32GB/64GB, microSD sehingga 2TB
Kamera Utama 13MP (f/2.0) + 5MP, rakaman 4K
Kamera Hadapan 13MP (85°, LED softlight), rakaman 1080p
Skrin 5.99-inci IPS LCD, 2160×1080, 402 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi a/b/g/n, A-GPS, Bluetooth 5.0
Sistem Android 8.1 Oreo
Bateri 5000 mAh, pengecasan 10W
Berat & Ketebalan 180g, 8.5mm
Tempoh Ujian 3 minggu

Sebut sahaja segmen peranti mampu milik, Xiaomi antara jenama yang memberi spesifikasi yang hebat pada harga yang jauh lebih rendah berbanding pesaingnya. Ia bertepatan dengan motto Xiaomi iaitu “inovasi untuk semua”, jadi mereka akan cuba sedaya upaya dalam memberikan penawaran yang menarik tanpa memerlukan pengguna untuk berbelanja lebih. Untuk segmen ratusan ringgit, siri Xiaomi Redmi dan Redmi Note antara penyumbang utama dalam meningkatkan populariti mereka dalam segmen ini.

ASUS pada era ZenFone (generasi pertama) dan ZenFone 2 boleh dikatakan sangat terkenal apabila bercakap mengenai segmen telefon peranti mampu milik ini. Perkara ini berlaku sewaktu Xiaomi masih baru di negara ini selain masih terdapat kesukaran untuk mendapatkan peranti keluaran Xiaomi ini. Kedua-dua siri ASUS ini memberi penawaran yang menarik (seperti cip pemprosesan dwi/empat-teras dan saiz RAM yang besar ketika waktu itu), dan mampu diperolehi dalam harga sekitar ratusan ringgit. ASUS ZenFone 2 variasi 4GB RAM hanya dijual bermula RM1099, yang mana masih berpatutan walaupun ia menjadi telefon pertama dunia yang dijana dengan kapasiti RAM terbesar pada waktu itu.

Cuma ketika era ZenFone 3 dan ZenFone 4, populariti ASUS mulai berkurangan akibat penawaran harga peranti yang sudah mencapai tahap harga peranti premium. Tidak dapat dinafikan, ASUS masih mempunyai siri bajet di bawah ZenFone Max sebelum ini, tetapi pada kali ini, mereka benar-benar agresif untuk menaikkan semula populariti yang pernah mereka kecapi.

Kini, ASUS ingin menawan semula segmen mampu milik ini melalui perkenalan ASUS ZenFone Max Pro M1. Ia hadir dengan sejumlah titik jualan utama, iaitu cip Snapdragon 636 yang pantas, skrin penuh 6-inci Full HD+, Android asli, dan kapasiti bateri 5000 mAh. Apa yang membuatkan ia menarik lagi, ia hanya ditawarkan pada harga di bawah RM700.

Penawaran harga ini dilihat agresif kerana ia dilihat membawa penawaran yang serupa seperti Xiaomi Redmi Note 5, yang juga menawarkan saiz dan cip pemprosesan yang serupa. Tetapi ASUS bijak, mereka menawarkan kapasiti bateri lebih tinggi (5000 mAh berbanding 4000 mAh pada pesaingnya), selain memberi sistem operasi terkini dengan pengalaman Android asli untuk menarik golongan yang meminati dunia teknologi.

Jadi dengan penawaran yang lebih besar ini, bolehkah ASUS ZenFone Max Pro M1 memberi penawaran yang lebih baik berbanding pesaingnya?

Variasi

ASUS ZenFone Max Pro M1 didatangkan dalam tiga variasi yang berbeza, iaitu 3GB RAM/32GB (RM699), 4GB RAM/64GB (RM859), dan 6GB RAM/64GB (RM999). Variasi permulaan dan dua variasi lebih tinggi mempunyai keupayaan kamera yang berlainan, melalui sensor 13MP + 5MP (utama) dan 8MP (hadapan) untuk variasi 3GB RAM/32GB, manakala sensor 16MP + 5MP (utama) dan 16MP (hadapan) pula untuk variasi 4GB RAM/64GB dan 6GB RAM/64GB. Di dalam ulasan ini, kami menggunakan variasi 3GB RAM/32GB, jadi kesemua ulasan di dalam artikel ini adalah berdasarkan kepada variasi kelas permulaan ini.

Rekabentuk


ASUS ZenFone Max Pro M1 mempunyai penawaran spesifikasi seumpama Xiaomi Redmi Note 5 seperti kehadiran cip Snapdragon 636, memori 3GB RAM, storan dalaman 32GB, dan menyokong perketakkan kad microSD melalui slot dwi-sim. Apa yang membuatkannya berbeza, slot dwi-sim pada Max Pro M1 mempunyai ruang dwi-sim dan kad microSD tersendiri (berbanding slot hibrid pada Redmi Note 5), jadi anda boleh memanfaatkan kedua-sim dan kad microSD secara serentak. Ia juga menawarkan earphone jack 3.5mm di bahagian bawah, namun tidak menampilkan sebarang sambungan USB-C untuk menggantikan micro-USB, seperti yang alami pada Xiaomi Redmi Note 5.

Sedikit kekecewaan bagi penggemar fungsi IR blaster, ZenFone Max Pro M1 ini tidak menawarkan sebarang port inframerah di bahagian atas peranti. Fungsi ini amat membantu pengguna untuk mengawal perkakasan elektrik seperti TV dan penyaman udara, jadi Xiaomi Redmi Note 5 lebih memberi fungsi ekstra yang cukup selesa di sini. Dengan penggunaan cip Snapdragon 636, ZenFone Max Pro M1 membawa sokongan Bluetooth 5.0 untuk sambungan yang lebih efisien, namun piawaian WiFi-nya masih bergantung pada Wi-Fi 802.11 b/g/n. Untuk sokongan ini, Xiaomi Redmi Note 5 lebih ke hadapan dengan sokongan dual-band Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac 5GHz, jadi pengguna dengan router WiFi dual-band dapat memanfaatkan kelajuan WiFi 5GHz yang lebih pantas dan stabil berbanding Max Pro M1.

Untuk binaan, ZenFone Max Pro M1 membawakan binaan logam sepenuhnya di bahagian belakang, dengan perletakkan kamera secara menegak di bahagian kiri atas peranti. Binaan logam ini kurang memerangkap kesan cap jari, namun sedikit licin apabila tidak memakai sebarang aksesori. Mujur ASUS turut memberi silicon case secara percuma di dalam kotak pembelian peranti, untuk memberi genggaman yang selesa ketika memegang peranti ini. Walaupun didatangkan dengan kapasiti bateri 5000 mAh, peranti ini kelihatan tidak begitu berat, dengan hanya menawarkan berat peranti sekitar 180g. Ia juga tidak tebal, yang mana masih mampu mencapai ketabalan 8.5 mm.

Binaan hadapannya hadir dengan skrin penuh 18:9 pada saiz 6.0-inci, tanpa perletakkan takuk seperti yang hadir pada ASUS ZenFone 5 (2018). Walaupun saiz skrin besar, saiz fizikalnya masih serupa seperti peranti dengan skrin 5.5-inci, yang mana dibantu melalui penggunana skrin penuh dan rekaan bingkai nipis. Untuk kualiti paparannya, panel IPS LCD-nya kelihatan lebih terang berbanding Xiaomi Redmi Note 5, dengan kadar brightness mencapai 450 nits selain memberi nisbah contrast pada kadar 1500:1. Ia memberi paparan yang cemerlang untuk harganya, dengan penawaran viewing angle yang amat luas apabila dilihat dari sudut berlainan.

Untuk sokongan sekuriti, ZenFone Max Pro M1 menyokong kebolehan Face Unlock bagi memudahkan anda menyahkunci peranti menggunakan wajah. Sokongan ini dilihat kadangkala kurang konsisten ketika menyahkunci peranti, kadangkala ia berjaya dan kadangkala gagal menyahkunci peranti (dan akhirnya anda memasukkan pin kerana putus asa menggunakannya). Perkara ini turut dialami ketika saya menggunakan ZenFone Max Plus M1, dengan kadar menyahkunci imbasan wajah yang tidak begitu responsif. Sedikit kekecewaan buat saya kerana peranti kelas permulaan Vivo seperti Vivo Y71 mempunyai sokongan Face Unlock dengan prestasi begitu pantas, yang mana keseluruhan besarnya mampu menyahkunci peranti dengan baik. Namun prestasi pengimbas cap jarinya sedikit sebanyak mengurangkan isu Face Unlock ini dengan kadar imbasan yang lancar – walaupun tidak sepantas seperti Xiaomi Redmi Note 5.

Sistem

Salah satu keistimewaan ASUS ZenFone Max Pro M1 ialah penawaran Android asli (stock Android) yang dijana dengan sistem operasi terkini Android 8.1 Oreo. Penawaran Android asli sememangnya memikat hati penggemar teknologi, atas kekurangan perletakkan bloatware disamping menawarkan antaramuka asli Android yang kemas tanpa sebarang pengubahsuaian antaramuka daripada pengeluar. Cuma ia tidak dinyatakan sama ada ia dibina berasaskan program Android One – jadi kemaskini sekuriti bulanan tidak dijanjikan di sini. Namun usaha ASUS dalam menawarakan versi Android baru pada peranti keluaran mereka boleh dikatakan amat baik (seperti ASUS ZenFone 3 yang asalnya Marshmallow dan kini menerima Android Oreo), jadi harapan untuk menerima kemaskini Android P mungkin sedikit cerah pada peranti ini.

Paparan homescreen-nya menyerupai paparan yang hadir pada kebanyakan peranti yang menjalankan Android asli, melalui penggunaan launcher yang dinamakan sebagai “Launcher3”. Ia hadir dengan sokongan Notification dots, dengan memberi tanda bulat di bawah ikon aplikasi apabila ia menerima sebarang notififikasi baru. Launcher ini juga menyajikan paparan Google Now serba baru di bahagian kiri, bagi membolehkan anda melihat sejumlah kemaskini seperti berita, suhu, dan info trafik pada halaman ini.

Dengan penawaran antaramuka Android asli, penawaran fungsinya juga tidaklah sebanyak fungsi yang hadir pada ZenUI 5.0 pada ZenFone 5 (2018), namun anda masih boleh menikmati fungsi yang disediakan pada Android 8.1 Oreo. Seperti contoh sokongan autofill, yang membolehkan anda menekan username anda, dan kata laluan akan dimasukkan secara automatik ketika ingin membuat log masuk. Anda juga boleh menggunakan fungsi Picture-in-Picture (PiP), untuk membolehkan anda melihat paparan sesuatu aplikasi secara kecil ketika berada di luar aplikasi.

Dengan penawaran antaramuka Android asli ini juga, terdapat sedikit kekurangan fungsi berbanding ZenUI 5.0, seperti tidak dapat menggunakan fungsi one-handed mode untuk memudahkan pengendalian peranti melalui satu tangan. Ia juga tidak menawarkan sebarang pengoptimasian audio untuk kegunaan headset, seperti fungsi ASUS AudioWizard, jadi pendengaran pada peranti ini kurang memberi bunyi yang memukau (sokongan equalizer Snapdragon Audio+ yang tersedia masih tidak mencukupi) berbanding telefon ZenFone yang menggunakan ZenUI. Tetapi perkara yang sedikit kecewa, ia tidak menyajikan sebarang settings untuk menetapkan paparan aplikasi untuk mod skrin penuh, jadi aplikasi yang tidak dioptimasikan untuk paparan 18:9 akan meninggalkan bar hitam di hujung paparan peranti.

Prestasi

Dari sudut prestasi, ASUS ZenFone Max Pro M1 dijana dengan cip yang sama seperti Xiaomi Redmi Note 5, melalui penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 636 yang dibina berasaskan proses binaan 14nm FinFET. Ia mempunyai CPU lapan-teras baru berasaskan Kyro 260, dengan menawarkan kluster empat-teras Cortex-A73 yang diolah (4 x Kyro 1.8 GHz) untuk kluster untuk prestasi, dan kluster empat-terat teras Cortex-A53 yang diolah (4 x Kyro 1.6 GHz) untuk kluster penggunaan efisien, yang kesemuanya disusun dalam gabungan big.LITTLE. Cip ini juga menerima manfaat daripada penggunaan GPU Adreno 509, teknologi memori dwi-saluran LPDDR4 1333 MHz, dan sokongan modem X12 LTE (dengan memberi kadar kelajuan muat-turun: Cat 12, sehingga 600 Mbit/s; dan kadar kelajuan muat-naik: Cat 13, sehingga 150 Mbit/s).

Apabila diuji melalui melalui aplikasi penanda aras, prestasinya telah meninggalkan cip Snapdragon 625 hampir 1.54 kali ganda, iaitu cip yang terkenal dengan prestasi yang baik dan penggunaan tenaga yang efisien, selain banyak digunakan pada peranti seperti Xiaomi Mi A1/Redmi 5 Plus dan BlackBerry KEYone. Cip Snapdragon 636 mencatatkan mata sekitar 114,648 melalui aplikasi AnTuTu Benchmark v7, yang mana cukup tinggi berbanding cip Snapdragon 625 yang mencatatkan mata sekitar 76,902. Sebagai perbandingan, cip ini sedikit tewas berbanding cip Snapdragon 660 (dengan mata 140,378) pada Nokia 7 plus dan cip MediaTek Helio P60 (141,110) yang digunakan pada Oppo F7.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini sememangnya tidak memberi sebarang isu dalam menggalas aktiviti harian anda, terutama ketika menggunakan pelayar web dan sejumlah aplikasi media sosial. Membuka dan membuat pertukaran aplikasi terasa pantas, apatah lagi digunakan untuk memainkan sejumlah permainan terkini. Memainkan permainan Standoff 2 dan Guns of Boom memberi pengalaman permainan yang sangat selesa melalui bacaan frame rate yang konsisten, selain memberi prestasi yang mengasyikan ketika melakukan skor pada permainan Turbo League. Permainan seperti PUBG Mobile masih menetapkan tetapan grafik asas ketika kali pertama anda membuka permainan ini, namun boleh dinaikkan kepada tetapan medium dengan prestasi permainan yang masih dilihat lancar.

Bagi anda yang skeptik dengan frasa “telefon ASUS cepat panas”, telefon ASUS terkini yang menggunakan cip Snapdragon sudah kurang memberi isu ini. Memainkan 3 kali pusingan permainan PUBG Mobile dilihat hanya memberi haba suam yang sangat kecil, sekaligus memberi keselesaan untuk memburu “chicken dinner” harian saya ketika menggunakan peranti ini.

Kamera

ASUS ZenFone Max Pro M1 menawarkan keupayaan dwi-kamera untuk sokongan kamera utama, melalui padanan sensor 13MP + 5MP untuk variasi 3GB RAM/32GB ini. Ia dilengkapi dengan pencahayaan LED flash satu tona warna, sistem pemfokusan pantas Phase Detection AF (PDAF), namun tidak dilengkapi dengan sokongan penstabilan imej seperti Electronic Image Stabilization (EIS) dalam mengurangkan kesan gegaran pada gambar dan rakaman video.

Kualiti kameranya boleh dikatakan memuaskan, yang mana tidak terlalu baik dan tidak terlalu teruk untuk kegunaan harian. Ia sering memberi kualiti gambar terang cuma keperinciannya tidak begitu tajam seperti peranti pesaingnya. Warnanya juga kelihatan lebih ke arah kekuningan yang mana jauh daripada memberi hasilan warna yang neutral. Kawalan dynamic rangenya juga agak rendah, sekaligus menyukarkan anda mendapatkan gambar yang baik apabila berdepan dengan pencahayaan yang ekstrem.

Selain kawalan dynamic range yang perlu ditingkatkan, kualiti Portrait Mode-nya juga mengalami sedikit isu apabila mengambil gambar subjek pada waktu cerah. Ia sering menggelapkan wajah subjek, yang mana akhirnya menjadikan gambar Portrait Mode ini kurang menarik. Namun perletakkan blurnya masih boleh dikatakan memuaskan, walaupun terdapat sedikit kecacatan pada rambut dan bahagian baju yang dipakai oleh subjek.

Kamera hadapannya mudah memberi hasilan yang sedikit bergegar, jadi anda perlu memastikan tangan anda benar-benar stabil ketika mengambil selfie. Hasilannya boleh dikatakan baik cuma wajah lebih cenderung untuk gelap apabila anda tidak mendapatkan pencahayaan yang mencukupi. Seperti kamera belakang, ia juga hadir dengan sokongan Portrait Mode, namun dibantu melalui perisian untuk perletakkan blur pada wajah anda.

Ketika awal menerima peranti ini, saya terkejut kerana ASUS menggunakan aplikasi Snapdragon Camera sebagai aplikasi kamera utama pada peranti ini. Ia merupakan aplikasi yang sering digunakan pada custom rom, yang mana jarang disertakan pada peranti yang dijual secara komersial. Antaramuka aplikasi ini kelihatan seperti aplikasi experimental (seperti aplikasi stock camera era Android Jelly Bean), sekaligus dilihat kurang menarik untuk pengguna umum. Ia juga menempatkan sejumlah kawalan yang kurang diperlukan terlalu banyak, yang mana perlu diringkaskan mengikut kesesuaian penggunaan hari ini.

Bateri

Antara fokus utama peranti ini semestinya dari segi ketahanan baterinya dengan menawarkan kapasiti bateri setinggi 5000 mAh. Bayangkan anda mula ke pejabat pada pukul 8 pagi dengan bacaan bateri 100%, dan apabila setibanya di rumah pada pukul 6 petang, bateri peranti ini masih mampu mencatatkan bacaan sekitar 60%. Dengan kapasiti yang masih banyak ini, anda masih boleh menggunakannya untuk tontonan Youtube atau memainkan PUBG Mobile sehingga lewat malam tanpa perlu mengecas peranti ini.

Dengan kapasiti setinggi ini, ia mampu memberi bacaan Screen-on-Time sekitar 8 jam 33 minit untuk kegunaan standard sepanjang hari. Sekiranya anda cermat atau kurang memainkan permainan, anda boleh mendapatkan SoT yang lebih panjang, dengan membolehkan ia mencatatkan sekitar 10-11 jam SoT untuk harian atau 5-6 jam SoT untuk penggunaan peranti selama dua hari.

Untuk masa pengecasannya, ZenFone Max Pro M1 menawarkan pengecas 10W dalam menyingkatkan masa pengecasan peranti. Dengan kuasa pengecas ini, ia mampu mengecas peranti ini sekitar 2 jam 42 minit untuk mengecas peranti ini dari 0-100%.

Untuk memanjangkan lagi jangka hayat bateri, Android 8.1 Oreo sedia mempunyai fungsi battery saver tersendiri, yang mana boleh diaktifkan bila-bila masa melalui halaman battery settings. Apabila anda mengaktifkan fungsi ini, kesan animasi, penggunaan data, dan jumlah aplikasi yang dijalankan secara background akan dikurangkan bagi meningkatkan masa bertahan peranti ini.

Rumusan

ASUS ZenFone Max Pro M1 memenuhi kesemua aspek di dalam telefon pintar bajet, seperti paparan yang terang, prestasi yang pantas, dan ketahanan bateri yang cukup lama, cuma satu bahagian sahaja yang masih boleh diperbaiki: keupaayan kamera. Tetapi sekiranya diteliti daripada slogan pemasaran peranti ini iaitu “Limitless Gaming”, ia sememangnya memenuhi slogannya, dengan menawarkan prestasi permainan yang cukup lancar dan pastinya ia mampu dimainkan dalam masa berjam-jam lamanya. Memainkan permainan kegemaran saya seperti PUBG Mobile cukup memberi kepuasan ketika menggunakan ASUS ZenFone Max Pro M1 ini ini, tanpa perlu risau untuk mengecasnya atau perlu mengusung powerbank ke mana-mana secara harian.

Tetapi dengan meletakkan pesaingnya iaitu Xiaomi Redmi Note 5 pada bahan promosi telefon ini, sudah tentu saya mengharapkan peranti ini mampu memberi penawaran yang seimbang pada kesemua aspek. Xiaomi Redmi Note 5 cukup seimbang dari segi kesemua penawarannya, tidak kira dari segi skrin, prestasi, kamera, dan jangka hayat baterinya. Walaupun ia kurang 1000 mAh berbanding ZenFone Max Pro M1, ketahanan baterinya masih lama untuk kegunaan harian, cuma ia mungkin sukar untuk dibawa ke hari kedua sekiranya anda menggunakan peranti secara intensif. Keupayaan kameranya walaupun tidak menyokong rakaman 4K, pengoptimasian AI dan sokongan EIS lebih praktikal dalam meningkatkan mutu penggambaran dan aspek rakaman video, yang semestinya sudah menjadi perkara asas dalam peranti keluaran tahun ini.

Cuma saya mengharapkan ia hadir dengan pilihan storan yang lebih kecil untuk pasaran Malaysia, jadi pengguna akan dapat memanfaatkan penggunaan slot dwi-sim bersama slot microSD. Kamera utamanya juga saya mengharapkan ia memberi kualiti rakaman video yang lebih stabil, yang mana boleh dibantu melalui EIS walaupun tidak menawarkan sistem OIS secara terbina.

Saya tidak menyalahkan hardware peranti ini kerana kelengkapannya ada, cuma perisiannya perlu dipertingkatkan lagi. Saranan saya, ASUS boleh menawarkan pilihan untuk meletakkan kamera ZenUI 5 pada peranti ini (seperti yang dilakukan Xiaomi pada Mi A1) jadi kualiti gambar dapat ditingkatkan melalui penggunaan AI hasil daripada aplikasi kamera baru ini. Penggunaan Snapdragon Camera adalah kurang mesra untuk produk akhir pengguna, atas penawaran kualitinya yang sederhana, selain menawarkan kedudukan kawalan kamera yang tidak begitu menarik dan mesra untuk dilihat.

Pro
  • Mampu memberi ketahanan bateri yang lama.
  • Menawarkan prestasi yang berkuasa untuk harganya.
  • Paparan IPS LCD memberi hasilan warna yang baik selain hadir dengan viewing angle yang luas.
  • Menyokong rakaman video 4K
  • Mampu dicas dalam masa di bawah 3 jam untuk kapasiti 5000 mAh.
  • Hadir dengan Android asli bersama sistem operasi terkini Android 8.1 Oreo
  • Menawarkan slot dwi-sim dan kad microSD secara berasingan.
  • Harga lebih rendah berbanding pesaing terdekatnya.
Kontra
  • Kualiti kamera utama dan selfie kurang memberangsangkan.
  • Tiada sokongan penstabilan seperti EIS ketika rakaman video.
  • Sokongan Face Unlock mempunyai tindak balas yang kurang responsif.
  • Tidak menawarkan Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac.
  • Tiada IR blaster.

Sekiranya diletakkan Xiaomi Redmi Note 5 ke tepi, ASUS ZenFone Max Pro M1 berjaya memenuhi apa yang diperlukan untuk kedua-dua golongan ini, iaitu gamer dan penggemar teknologi. Untuk gamer, sedia diketahui ia berjaya memenuhi dua aspek utama iaitu prestasi dan kemampuan bateri berkapasiti tinggi. Untuk penggemar teknologi pula, spesifikasi yang baik dan penggunaan Android asli sememangnya menang di sini, dengan antaramuka yang kemas dan bersih tanpa kehadiran sebarang bloatware di dalamnya.

Sekiranya anda dilema untuk memilih antara kedua-dua peranti ini, cara pengesyorannya sangat mudah. Sekiranya anda mengutamakan keupayaan kamera yang jauh lebih baik, mahukan sebuah peranti yang seimbang, dan anda tidak kisah untuk “top up” pada bajet anda, Xiaomi Redmi Note 5 adalah lebih bertepatan dengan penggunaan anda. Tetapi sekiranya anda mengutamakan aspek gaming, kurang menggunakan fungsi kamera, dan pastinya dapat menjimatkan perbelanjaan anda, dengan mudah saya mengesyorkan ZenFone Max Pro M1 ini kepada anda.

ASUS ZenFone Max Pro M1 sudah boleh didapati secara rasmi di Malaysia, dengan penawaran harga RM699 (RM599 melalui flash sale Lazada) untuk variasi permulaan 3GB RAM + 32GB. Manakala untuk variasi 4GB RAM/64GB, ia ditawarkan pada harga RM859, sementara variasi 6GB RAM/64GB bakal dijual pada harga RM999.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd