Carian
Samsung Chromebook Plus V2 Diperlihatkan – Hadir Dengan CPU Intel Celeron Dan Rekaan 2-Dalam-1
June 18, 2018 Nazrin

Peranti Chromebook nampaknya dilihat bangkit semula, dengan syarikat-syarikat seperti ASUS dan Google sendiri hadir dengan model-model yang dikuasakan oleh siri CPU Intel Core yang cukup berkuasa.

Samsung juga dilihat ingin memasuki semula ke arena ini dengan memperkenalkan sebuah Chromebook mereka sendiri, iaitu Samsung Chromebook Plus V2.

Samsung Chromebook Plus V2 ini ialah sebuah peranti laptop 2-dalam-1 yang boleh dilipat ke sebuah tablet, dan hadir dengan paparan bersaiz 12.2 inci dengan resolusi Full HD 1920×1080. Ia dikuasakan oleh CPU Intel Celeron 3965Y, dan dilengkapi memori DDR4 sebanyak 4GB dan storan sebesar 32GB.

Terbina didalamnya juga ialah sebuah stylus yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, seperti menulis, melukis dan sebagainya, dan ini dipermudahkan lagi melalui kebolehan Chromebook Plus V2 ini untuk dilipat menjadi sebuah tablet.

Dari segi bicu, Chromebook Plus V2 ini dilengkapi dengan dua bicu USB 3.1 Type-C, satu bicu USB 3.0 Type-A dan sebuah pembaca kad microSD. Bicu USB 3.1 Type-C ini boleh digunakan untuk mengecas Chromebook Plus V2 ini, dan juga untuk melanjutkan paparan ke paparan dengan resolusi 4K.

Laptop Samsung Chromebook Plus V2 ini dikatakan akan hadir di pasaran Amerika pada 24 Jun kelak pada harga bermula $499 (~RM2000). Buat masa ini, tiada lagi pengumuman mengenai bilakah peranti ini akan hadir di pasaran-pasaran lain.

Komen