Pemproses paling berkuasa untuk peranti Android di pasaran buat masa ini ialah Eynos 9810 yang digunakan pada Samsung Galaxy S9. Ia dengan mudah mencatatkan markah yang lebih tinggi berbanding Snapdragon 845 keluaran Qualcomm. Kepakaran Samsung dalam menghasilkan cip pemproses sendiri akan diuji kerana mereka dilaporkan sedang membangunkan GPU keluaran sendiri bagi menggantikan GPU Mali yang digunakan sekarang.
Samsung dipercayai menggunakan kepakaran bekas pekerja Qualcomm, NVIDIA dan AMD bagi membangunkan GPU ini. Untuk percubaan sulung, GPU yang sedang dibangunkan ini akan digunakan pada pemproses kelas pertengahan terlebih dahulu. Sekiranya berjaya mereka kemudian akan membangunkan GPU untuk peranti kelas utama.
Dengan wujudnya GPU keluaran sendiri, mereka dapat mengurangkan kos penghasilan peranti dan pergantungan kepada syarikat luar. Langkah yang sama dilakukan oleh Apple pada cip A11 yang tidak lagi menggunakan GPU keluaran PowerVR.