14 Aplikasi Google Yang Dapat Memudahkan Kehidupan Anda Sebagai Pelajar

14 Aplikasi Google Yang Dapat Memudahkan Kehidupan Anda Sebagai Pelajar

Diterbitkan pada June 26, 2018 oleh .

Sesiapa yang pernah menjadi seorang pelajar pasti sudah tahu betapa peritnya menuntut ilmu ini. Untuk menjadi pelajar cemerlang pula, bukan sahaja perlu bagus dalam ujian peperiksaan, malah perlu aktif dengan aktiviti sampingan seperti persatuan, kerja amal dan tidak lupa juga permainan atau pun sukan. Namun bila kita meningkat dewasa, pasti pengalaman menjadi seorang pelajar ini adalah pengalaman yang berharga sekali.

Untuk membantu para pelajar menempuh kehidupan harian mereka, Google Malaysia telah bekerjasama dengan Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR UC) dan menganjurkan program iaitu Google Café: Cool Tools 4 Skool.

Untuk pelajar yang sukar menguruskan masa sehingga sering kali terlepas kelas atau pun program, jangan risau lagi kerana Google Calendar dapat membantu pelajar menguruskan masa mereka dengan menetapkan peringatan sama ada untuk kelas harian atau pun program tertentu.

Pelajar seringkali diberi tugasan yang melibatkan kawasan di luar kampus untuk tujuan pembelajaran. Jika anda yang mengenali kawasan itu sudah pasti mudah untuk membuat tugasan tersebut, namun usah khuatir jika tersesat, Google Maps dapat membantu pelajar.

Untuk mencari sumber rujukan seperti berita, artikel atau kajian terdahulu, Google Search boleh membantu pelajar tatkala membuat tugasan. Di samping itu, Google Scholars juga menawarkan akses bahan bahan bacaan akademik dengan pelbagai format penerbitan. Para pelajar juga tidak perlu lagi membawa buku ke kelas kerana di Google Books, pelajar boleh membeli buku yang dikehendaki dalam bentuk digital.

Bagi pelajar yang tidak fasih menggunakan Bahasa Inggeris, jangan risau kerana Google Translate dapat menterjemahkan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan juga sebaliknya. Menariknya, terdapat pelbagai Bahasa yang boleh dipilih. Word Lens juga dapat menterjemahkan Bahasa dengan cara mengambil gambar sahaja.

Apabila bekerja dalam kumpulan, kerjasama yang bagus amat penting untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Maka alat seperti Google Drive, Google Docs, Google Slides dan Google Sheets amat berguna untuk menghasil dan berkongsi dokumen. Ahli kumpulan yang lain juga boleh mencatat idea mereka, meyimpan nota penting dan juga boleh berkongsi ke rakan yang lain melalui Google Keep.

Detik berharga haruslah dirakam, oleh itu Google Photos dapat membantu untuk menyimpan, melakukan simpanan data dan menyusun gambar dan video secara automatik, malah dapat kongsikan bersama rakan yang lain secara automatik. Jika ingin menyunting gambar menggunakan kesan khas, Snapseed dapat menjadikan gambar anda lebih menarik tanpa menggunakan sebuah desktop.

Untuk mengisi waktu lapang selepas tugasan selesai, pelajar boleh melayari di YouTube iaitu laman perkongsian video terbesar di mana pelajar boleh memuat turun dan berkongsi video di samping dapat membina persahabatan dalam talian di seluruh dunia.

Sebagai pelajar, memiliki data internet sudah menjadi kewajiban. Maka untuk memastikan pelajar menggunakan data dengan baik, Datally dapat membantu untuk memantau, menyimpan dan mengawal penggunaan data. Datally juga membolehkan pelajar mencari hotspot WiFi dengan mudah. Untuk penggemar YouTube, YouTube Go juga dapat membolehkan anda menonton video walaupun dengan data yang rendah di mana-mana sahaja.

Apabila kekurangan ruang simpanan untuk menyimpan dokumen kuliah, jangan risau kerana Files Go dapat memadamkan gambar dan meme lama dari aplikasi sembang. Malah aplikasi yang tidak digunakan, fail salinan dan cache juga dapat dipadam dengan mudah.

Kesimpulannya, program yang dianjurkan amat berguna untuk pelajar kerana di era modenisasi ini semuanya jauh lebih mudah. Jadi haruslah pelajar mengambil kesempatan ini menggunakan segala alat dan aplikasi yang diberi sehabis baik di masa akan datang.


TIPS & ULASAN